BATU PAHAT - Kehilangan kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Azmee Elias, 36, sebelum ini terus menjadi persoalan biarpun dia ditemui di rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi merungkai kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihak polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan Azmee yang dipercayai hilang sejak dua minggu lalu sebelum ditemui di rumah neneknya sekiranya ada laporan berunsurkan jenayah.

“Setakat ini, siasatan kita mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian terbabit.

“Polis anggap kes ini selesai dan laporan hanya dibuat mengenai kehilangannya sahaja. Apabila dia ditemui kita menganggapnya selesai setelah tiada kejadian yang berunsurkan jenayah dilaporkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Abdul Wahib berkata, bagaimanapun siasatan lanjut akan diteruskan sekiranya terdapat laporan baharu membabitkan unsur jenayah.

Katanya, kini Azmee kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan keadaannya dilaporkan stabil.