BAKRI - Kebakaran Hutan Simpan Paya Gambut Ayer Hitam pada 2014 yang memusnahkan satu-satunya hutan paya gambut tropika di negeri ini tidak dibiarkan sepi apabila usaha memelihara dan memulihara khazanah alam giat dijalankan.

Penghulu Mukim Ayer Hitam, Mohd Afezan Yahya berkata, hutan seluas 3.8 hektar terletak dalam mukim Ayer Hitam, di sini, diberi nafas baharu melalui program penanaman pokok oleh Coca-cola Malaysia bersama NGO, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim).

Katanya, Back To Nature 2.0 diadakan kali kedua selepas kejayaan siri pertama tahun lalu.

“Aktiviti ini melibatkan beberapa fasa dan jenis penanaman pokok pula berbeza-beza. Bagi fasa pertama sebelum ini, kita tanam 200 pokok tenggek burung dan pokok spesies tempatan iaitu kelat paya (syzygium campanulatum) hampir 100 batang. Pokok ini dipilih kerana tumbuhan itu sesuai ditanam di tanah paya gambut selain keluarkan bunga berpotensi menarik kehadiran burung.

“Kali ini, 110 pokok melibatkan pokok tenggek burung dan pokok remin yang merupakan spesies hutan ditanam di kawasan itu,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, tarikan pelbagai habitat di hutan berkenaan diyakini mampu merangsang hidupan lain termasuk mengindahkan suasana flora dan fauna hutan simpan.

“Kita berusaha kekalkan khazanah berkenaan lantaran kewujudan hutan simpan dilihat semakin terancam. Kita tidak mahu kejadian kebakaran yang berlaku beberapa tahun lalu dibiarkan menjadi punca kepada kehilangan aset berharga ini,” katanya.

Mohd Afezan berkata, sebelum ini, dua projek sekatan air tambahan dibina di hutan terbabit dan ia telah pun siap bagi menghalang kebakaran berlaku lagi.

Terdahulu, aktiviti turut disertai Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Awam Coca-Cola, Kadri Taib; Pengerusi Lembaga Muslim Aid, Habsah Marjuni serta hampir 150 individu terdiri daripada kakitangan Coca-Cola dan golongan komuniti bekerjasama menanam anak pokok terbabit.