PONTIAN - Suasana di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bertukar hiba sebaik sahaja laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina masyarakat Bugis selesai dilakukan Persatuan Bugis Johor Cawangan Pontian, jam 6 petang semalam.

Ada dalam kalangan ahli persatuan menitiskan air mata kerana berasakan kenyataan dibuat bekas perdana menteri dalam Himpunan Anti Kleptokrasi amat menghina keturunan Bugis.

Selain Persatuan Bugis Johor Cawangan Pontian, turut melakukan perkara sama membuat laporan polis ialah Koperasi Bugis Berhad.

Pengerusi Persatuan Bugis Johor Cawangan Pontian, A Karim Belohik, berkata ucapan Dr Mahathir yang menyentuh tentang Bugis merupakan penghinaan kepada masyarakat itu.

“Ucapannya yang menyebut mungkin kerana dia (Datuk Seri Najib Tun Razak) berasal dari lanun Bugis, entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia, merupakan penghinaan kepada orang Bugis.

“Hadirin dalam himpunan tersebut turut bersorak seolah-olah bersetuju," katanya.

Tambah Karim, masyarakat berketurunan Bugis di negara ini bukan sahaja berada di Johor tetapi boleh dikatakan di semua negeri ada orang Bugis termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Malah raja-raja Melayu juga ada yang berketurunan Bugis. Seperti mana yang diketahui umum Johor, Selangor, Perak dan Kedah.

“Gelaran lanun diberikan oleh penjajah Belanda dan Inggeris kerana pahlawan Bugis ketika itu telah menyerang kapal-kapal penjajah.

“Sesungguhnya tiada siapa yang menafikan bahawa orang Bugis banyak menyumbang kepada pembentukan, pembangunan dan kemajuan negara pada hari ini,” katanya.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa menyiasat dan menahan Dr Mahathir bawah Akta Hasutan demi keharmonian dan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi Bugis Berhad, Lokman Junit meminta Dr Mahathir meminta maaf secara terbuka di akhbar dan tidak mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

Katanya, laporan polis yang dibuat masyarakat Bugis mungkin akan meningkat berdasarkan kepada rasa tidak puas hati yang masih dirasai sehingga hari ini.

“Orang Bugis sudah lama jadi warganegara Malaysia, ucapan Dr Mahathir seolah-olah menghalau orang Bugis walaupun ia hanya ditujukan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Orang Bugis juga sudah lama menyokong Dr Mahathir sepanjang dia menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tetapi dibalas dengan hendak menghalau kami. Perlu diingat orang Bugis juga telah memacu ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, Dr Mahathir juga pernah diberikan penghormatan oleh orang Bugis di Sulawesi Selatan, Indonesia dengan menjemputnya menyampaikan ceramah di Universiti Hassanudin di Makasar, suatu masa dahulu.

“Orang Bugis dituduh lanun. Sebenarnya orang Bugis yang menjaga keselamatan di Laut China Selatan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.