JOHOR BAHRU - Tragedi yang menimpa mahasiswa Universiti Pertahananan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkurnain yang meninggal dunia  pada 1 Jun tahun lalu ternyata masih memberikan kesan terhadap keluarganya.

Kehilangan Allahyarham yang juga anak pertama daripada empat adik beradik itu membawa kesan besar buat ahli keluarganya, lebih-lebih lagi menjelang Syawal.

Ibunya, Hawa Osman, 55, berkata, tahun ini merupakan sambutan Aidilfitri kedua keluarganya selepas kehilangan arwah anaknya itu.

Menurutnya, mereka menyambut lebaran ala kadar sahaja selain menzahirkan sanubari yang masih terjejas dengan kejadian tahun lalu.

“Kami sekeluarga masih terasa kehilangan Along (Zulfarhan) jadi kami bersepakat akan sambut hari raya ala kadar sahaja dan tidak semeriah ketika arwah ada dulu.

“Jika Along masih ada, dialah orang yang paling seronok. Setiap kali raya, dialah yang akan memilih tema warna baju raya kami sekeluarga. Bagi kami tiada hari raya seindah dulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Hawa berkata, saat paling dirindui adalah sewaktu Zulfarhan membantu membuat ketupat ketika menjelang Syawal.

Katanya, dia masih terbayang-bayang seolah-olah Zulfarhan ada menyiapkan sekali ketupat untuk juadah istimewa itu yang juga makanan kegemarannya.

“Kadang-kadang bila keseorangan makcik terbayang kelibat arwah di dalam rumah seolah-olah dia mengagah-agah makcik.

“Dia seorang yang suka bergurau,” katanya.

Namun, jelasnya, semua perkara itu tidak akan berulang lagi.

Tambahnya, keluarga hanya mampu melepas rindu dengan menatap baju raya yang tidak sempat disarungkan arwah pada tahun lalu selain mendengar suaranya menerusi rakaman aplikasi telegram yang disimpannya.

Masih sukar memaafkan

Sementara itu, bapanya, Zulkarnain Idrus, 54, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Zulfarhan namun mengakui masih sukar memaafkan perbuatan rakan-rakannya itu.

“Saya reda tapi untuk memaafkan mereka yang membunuh anak saya agak sukar.

“Mereka buat anak saya macam baju, seksa anak saya sedemikian rupa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia menyerahkan kes babit kematian anaknya itu kepada mahkamah dan berharap keputusan memihak kepada mereka.

“Kami juga harap hukuman yang diberikan ke atas semua suspek setimpal agar memberi pengajaran kepada mereka dan  masyarakat yang lain,” katanya.

Zulfarhan merupakan mahasiswa UPNM yang menjadi mangsa dera hingga mati.

Allahyarham dipercayai didera dengan menggunakan seterika wap, getah paip, penyangkut baju serta tali pinggang selepas didakwa mencuri komputer riba milik rakannya sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun tahun lalu.

Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Seramai 32 mahasiswa UPNM dan empat pelajar Universiti Tenaga Nasiosal (Uniten) telah ditahan bagi membantu siasatan.

Lima didakwa membunuh Pegawai Kadet Laut itu manakala seorang lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didakwa bersubahat dengan lima tertuduh.