KLUANG - Pakatan Harapan (Harapan) Kluang bercadang menubuhkan pejabat bergerak pada setiap sekali dalam masa sebulan di lokasi yang terpilih.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, pejabat bergerak diadakan bagi memudahkan masyarakat menyalurkan permasalahan tanpa perlu ke pejabat Harapan.

Menurutnya, dua lokasi telah dipilih untuk melaksanakan pejabat bergerak iaitu Pasar Tani Taman Makmur dan Pasar Malam Batu 4, Jalan Mersing.

“Dua lokasi ini adalah dilihat menjadi tumpuan masyarakat tanpa mengira bangsa dan ia sesuai untuk tiga wakil rakyat bertemu masyarakat sekali sebulan.

“Tempat ini akan berubah-ubah untuk kami bertiga turun padang bertemu masyarakat setempat,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Pusat Komuniti Parlimen Kluang, di sini, semalam.

Hadir sama Adun Mengkibol, Chew Chong Sin dan Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Dalam perkembangan lain, selepas memenangi PRU14, tiga wakil rakyat itu telah mengadakan kunjungan hormat ke beberapa agensi kerajaan di sekitar kawasan ini.

Shu Qi berkata, antara kunjungan yang dilakukan ialah ke Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Pejabat Daerah Kluang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kami bersyukur lawatan kunjungan kami disambut dengan baik khususnya di MPK bersama Yang Dipertua MPK, Nasri Md Ali.

“Banyak yang kami bincangkan termasuk permohonan terhadap papan ‘billboard’. Kami juga telah memaklumkan kepada MPK agar melaksanakan prosedur permohonan mengikut peraturan dan tidak menghalang pihak pembangkang sekiranya mahu memohon.

“Biarlah laksanakan dengan adil tanpa ada sebarang keistimewaan. Malah, kami tidak sangka sambutan yang diterima dari pejabat kerajaan yang kami kunjungi.

“Semua pejabat yang kami pergi memberikan sambutan yang di luar jangka kami. Walaupun kerajaan sudah berubah, kami tetap mahu semua melayan pihak pembangkang sama rata dan tiada beza,” katanya.