PONTIAN - Kesempitan hidup menyebabkan Mohd Sobri Suparman, 32, bersama isteri kerap berpindah randah demi mencari rezeki.

Keadaan itu menyebabkan isterinya, Siti Khosniyah Mohd Juriafdi, 21, yang menderita kanser tulang belakang sejak tiga tahun lalu, sukar mendapatkan bantuan.

Saat berdepan dengan pelbagai rawatan kemoterapi, Siti Khosniyah diberikan anugerah cukup terindah dalam hidupnya apabila dia disahkan mengandung.

Menceritakan pengalaman yang dilalui, ibu muda ini mengakui semangatnya semakin kuat untuk melawan kanser tulang untuk membesarkan anaknya biarpun keadaan dirinya ketika itu agak lemah.

Katanya, sepanjang tempoh mengandung dia tidak mengalami alahan teruk dan berada dalam keadaan sihat.

“Saya selamat melahirkan bayi lelaki Mohd Rizqi Ramadan pada bulan puasa yang lepas. Kini Rizqi sudah berusia 3 bulan.

“Saya harap dapat meneruskan rawatan kemoterapi seterusnya sembuh dari penyakit kanser,” katanya.

Jelasnya, dia tidak menyangka kaki yang kerap sejuk dan bahagian belakang yang sakit rupanya menjadi petanda penyakit kanser tulang belakang.

“Saya disahkan menghidap kanser tulang belakang pada tahun 2015 iaitu sewaktu saya bekerja kilang di Kempas, Johor Bahru.

“Pembedahan tulang belakang dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) diikuti rawatan kemoterapi,” katanya.

Katanya lagi, dia kini tinggal di rumah bapa tirinya di Kampung Tanjung Piai dengan bergantung harap pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Sebelum ini, saya dan suami tinggal di Muar dan Labis. Saya harap akan terus tinggal di Tanjung Piai dan meneruskan rawatan kemoterapi,” katanya.

Terdahulu, Siti Khosniyah dikunjungi Umno Bahagian Tanjung Piai diketuai Naib Ketuanya, Dr Isa Ismail yang turut menyampaikan sumbangan.

Menurut Isa, pihaknya akan membuat susulan kes berkenaan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.

Hadir sama Ketua Pemuda Umno Bahagian, Syarulzaman Ibrahim dan Ketua Puteri Umno Bahagian Norazmeen Ahmad.