KOTA TINGGI - Pasangan suami isteri yang terkorban dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan petang semalam hanya menggunakan cuti pada setiap hujung minggu untuk berjumpa dan keluar bersama.

Kakak mangsa, Normala Mohamad Ali, 38, berkata, kekangan kerja menyebabkan mereka jarang dapat bersama berikutan adik iparnya bekerja dan menetap di Pengerang manakala adiknya pula menetap bersama ibu, Pun Mohamad, 67 di Felda Pasak.

Menurutnya, cuti hujung minggu memang dimanfaatkan sebaiknya oleh pasangan berkenaan lebih-lebih lagi mereka belum dikurniakan cahaya mata selepas empat tahun mendirikan rumahtangga.

"Kami dapat tahu kejadian ini selepas dimaklumkan rakan yang melihat posting kemalangan di Facebook.

"Kami tak sangka kesesakan trafik yang kami redah adalah berpunca dari kemalangan melibatkan adik sendiri,"katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, malam tadi.

Sementara itu, ibu mangsa Pun berkata, Allahyarham yang juga anak ke empat dari tujuh beradik tidak menunjukan sebarang perubahan dan berkelakuan seperti biasa.

Katanya, sehari sebelum kejadian dia sempat bersama anak dan menantunya itu pulang ke kampung di Bukit Kepong, Muar.

"Mereka bersiap-siap sebelum keluar pada pagi tadi (semalam) namun tak beritahu hendak ke mana.

"Itulah kali terakhir mak cik berjumpanya sebelum dikejutkan dengan berita kemalangan ini pada sebelah petang,"katanya.

Semalam, Noraziah Mohamad Ali, 36 dari Felda Pasak dan suami, Edil Azhar Abdul Rahman @ Mohamad,39, dari Batu Pahat yang menaiki Perodua Kancil maut dalam kemalangan di KM 36.0 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman.   

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu membabitkan empat kenderaan iaitu dua buah Perodua Kancil, sebuah Proton Bezza dan Honda Accord.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi berkata, sisatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Bezza.

Jenazah pasangan suami isteri itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasak jam 10 pagi ini.