JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mengesyorkan pihak pentadbiran sekolah mendapatkan khidmat polis apabila menganjurkan aktiviti atau program melibatkan kehadiran orang ramai.

Saranan itu dinyatakan susulan daripada kejadian jenayah berlaku di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Skudai, baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, beliau mengesyorkan sekurang-kurangnya tiga atau empat anggota polis ditempatkan ketika program berlangsung.

“Kehadiran polis mampu mengekang kejadian jenayah daripada berlaku.

“Kita kena buat kawalan lebih awal supaya dapat mencegah perkara itu berlaku,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil maklum syor tersebut serta menjadikan ia sebagai dasar.

“Dasar kepada jabatan dan juga PPD bahawa mana-mana program yang melibatkan orang ramai, mesti ada polis berkawal di pintu masuk. Itu penting.

“Ataupun sekurang-kurangnya ada juga kereta (peronda) polis untuk ambil tindakan atau menunjukkan kehadiran pihak berkuasa. Menjaga keselamatan terutama pelajar,” katanya.

Beliau berkata, selain itu turut dicadangkan agar pihak pentadbiran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah jika ada kemampuan dapat menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) tambahan.

Katanya, langkah itu supaya kegiatan pelajar atau pihak luar dapat dirakam terutama di lokasi sekolah yang sunyi.

“Selalunya kita tempatkan CCTV di depan pejabat. Tapi kali ini kita kena tengok juga kawasan-kawasan yang agak sunyi sebab di situ mungkin boleh berlaku pencerobohan atau aktiviti di luar jangkaan (perkara tidak elok),” katanya.

Aminolhuda juga mengingatkan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dan mengambil tahu pergaulan anak masing-masing.

“Dalam suasana pada hari ini kita bimbang anak-anak ini akan terlibat dalam kegiatan yang melanggar peraturan dan undang-undang seperti kongsi gelap.

“Saya menyeru kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak tidak terlibat (perkara tidak elok) dari usia muda. Bahayakan diri dan kesan kepada keluarga itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas kedua-duanya ditikam menggunakan pisau oleh sekumpulan lelaki dipercayai kumpulan kongsi gelap dalam kejadian di sekolah berkenaan.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, dua mangsa terbabit, dan tiga lagi rakannya menghadiri program karnival jualan amal yang sedang berlangsung dalam kawasan sekolah, sebelum diserang sekumpulan lelaki.

Polis memaklumkan mangsa cedera parah ditikam di dada, rebah di luar perkarangan sekolah manakala seorang lagi cedera ditikam lengan kiri.

Bagaimanapun tindakan pantas polis kemudiannya membawa kepada penahanan beberapa suspek untuk membantu siasatan.