PONTIAN - Kelihatan begitu bersemangat, tidak kurang juga ada yang gugup. Begitulah antara gelagat calon- calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat yang menduduki peperiksaan itu, bermula pada hari.

Cuaca mendung tidak menghalang calon-calon SPM berkumpul membaca doa dan meminta restu dari guru serta ibu bapa yang turut hadir di perkarangan dewan sekolah seawal jam 7 pagi.

Setiap calon juga diberikan kurma dan sarapan pagi menerusi program santapan kasih.

Pengetua, Mohd Shaphri Mohd Yusof berkata seramai 179 pelajar sekolah menduduki peperiksaan SPM yang bermula dengan Bahasa Melayu Kertas 1.

"Daripada 179 calon yang mengambil peperiksaan, hanya seorang sahaja calon berkeperluan khas bagi masalah pendengaran di sekolah ini,"katanya ketika ditemui.

Katanya, beliau yakin calon SPM pada tahun ini akan memperoleh keputusan yang cemerlang atas usaha yang telah dilakukan disamping program- program kecemerlangan dianjur sekolah.

Menyentuh tentang program santapan kasih, beliau berkata sebanyak RM6,000 diperuntukkan bagi pemberian sarapan, makan pagi dan tengahari kepada setiap calon SPM sepanjang tempoh peperiksaan.

Katanya, peruntukkan bagi program tersebut merupakan hasil sumbangan dari pemimpin setempat, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) dan alumni sekolah.

"Program santapan kasih ini merupakan sokongan kepada calon SPM supaya lebih bersemangat dan bertenaga untuk menjawab peperiksaan.

"Ibu bapa juga tidak perlu khuatir kerana anak yang menduduki peperiksaan disediakan makanan,"katanya.

Beliau turut meminta setiap calon supaya menjaga kesihatan dalam keadaan cuaca hujan pada masa sekarang.

Dalam pada itu,  Mohd Zunnur Abrar Zulkarnain yang merupakan calon berkeperluan khas bagi masalah pendengaran berharap dapat menduduki peperiksaan SPM dengan tenang.

Anak bongsu dari tiga beradik ini berkata, dia selalu menunaikan solat hajat pada awal pagi dan kadang kala turut disertai ibu dan bapanya.

Dia yang bercita - cita mahu menjadi guru turut menjadikan aktiviti memasak sebagai hobinya.