JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Johor Bahru menggesa kerajaan berhenti bermain politik, sebaliknya menyegerakan pelantikan ahli majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, gesaan itu bagi meneruskan matlamat menyejahterakan Bandaraya Johor Bahru.

Katanya, kelompongan jawatan itu kini di tahap merisaukan setelah lebih 60 hari kerajaan baharu ditubuhkan.

“Apakah begitu sukar untuk melantik individu yang layak?

“Walhal sebelum ini kita hanya perlu maksimum 14 hari sahaja untuk melantik ahli majlis,” katanya kepada Sinar Harian.  

Beliau berkata, Malaysia baharu sepatutnya menjadi cerminan yang utamakan tanggungjawab terhadap masyarakat bukannya terus berpolitik dan beretorik.

“Adakah kerajaan kini mementingkan konflik politik dalaman daripada memikirkan keperluan masyarakat?

“Kelompongan ini membuatkan  masyarakat tertanya-tanya bagaimana hendak dikongsi idea dan cadangan tentang penyelesaian isu di kawasan mereka nanti,” katanya.