JOHOR BAHRU - Kerajaan pusat dicadangkan supaya segera menaikkan gaji minimum sehingga RM1,500 bagi menarik minat tenaga tempatan untuk terus berkhidmat di negara ini.

Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor, Dr S Ramakhrishnan berkata, kenaikan gaji tersebut juga sebagai langkah menghalang tenaga kerja tempatan bekerja di negara luar.

Menurutnya, kenaikan gaji minimum adalah selaras dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

“Soal gaji minimum merupakan isu yang sangat serius. Kita harap kerajaan pusat naikkan gaji minimum sehingga RM1,500 tetapi kerajaan hanya setuju untuk naikkan RM1,050.

“Kenaikan tersebut adalah sangat kecil berbanding harapan rakyat yang begitu tinggi dalam soal ini. Tetapi, memandangkan keadaan ekonomi negara pada masa kini, tidak boleh juga untuk salahkan kerajaan.

“Malah, jika gaji minimum tidak dinaikkan, pekerja tempatan juga terpaksa memilih untuk bekerja di negara lain yang mana tawaran gajinya lebih tinggi hingga akhirnya kita terpaksa bergantung dengan tenaga kerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerajaan bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan juga memutuskan tidak memberi sebarang subsidi kepada mana-mana majikan berikutan kekangan kewangan semasa negara.

Terdahulu, beliau hadir pada Projek Mendaftar Anak Malaysia yang diadakan di Dewan Besar Kuil Arulmigu Sri Raja Mariamman, di sini, semalam.

Pada program berkenaan, Presiden kuil tersebut, K Kiruppalini menyampaikan derma RM5,000 untuk Tabung Harapan Malaysia kepada Ramakhrisnan.

Ramakhrisnan berkata, sebagai mengambil contoh yang dibuat Kerajaan Singapura, republik tersebut turut mengambil pendekatan menaikkan gaji pekerja tempatannya.

“Kesannya, mereka (Singapura) dapat meningkatkan kecekapan dalam bidang teknologi dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan mahu menambah tenaga kerja yang berkemahiran, maka kenaikan gaji minimum ini juga merupakan langkah yang perlu dibuat secepat mungkin.