MUAR - Sebanyak enam buah unit rumah kedai dan sebuah stor simpanan di Kampung Jawa, Panchor, di sini, musnah keseluruhannya selepas terbakar, malam tadi.

Ketua Balai Bomba Bukit Gambir, Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, dalam kejadian kira-kira 9.36 malam itu, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan telah bergegas ke lokasi kejadian bersama enam buah jentera termasuk dari Balai Bomba Muar.

"Seramai 22 kekuatan anggota dari kedua-dua balai bomba dikejarkan ke lokasi bagi membantu mengawal kebakaran. Dan sebaik tiba, kami dapati api marak memusnahkan keseluruhan enam buah rumah kedai berstruktur tidak kekal dan sebuah stor simpanan yang membabitkan keluasan sehingga 15 x 70 kaki.

"Malah, kebakaran itu turut menjejaskan beberapa buah kediaman di kawasan sekitar sebelum ianya berjaya dikawal pada jam 10.22 malam," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi berjaya ditamatkan pada jam 12.50 tengah malam tadi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :