KOTA TINGGI - Seramai enam remaja berdepan detik cemas apabila sesat ketika dalam perjalanan turun selepas melakukan pendakian di Gunung Panti, semalam.

Kesemua pelajar berusia 14 tahun yang menetap di Taman Aminah pertama kali ke gunung berkenaan mendaki melalui Jalan Mawai.

Pendakian mereka bermula pada jam 9 pagi namun mereka gagal keluar dari gunung tersebut.

Susulan itu, seramai sembilan anggota Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 3.05 petang.

Menurut jurucakap bomba, operasi menyelamat melibatkan anggota bomba, polis dan juga anggota renjer hutan yang mana berjaya membawa turun kesemua mangsa pada jam 7.20 petang.

"Pelajar berkenaan mendaki gunung sempena hari cuti. Ketika hendak turun, mereka menukar laluan mahu melalui air terjun.

"Tetapi mereka berpatah balik dan cuba menggunakan jalan asal ketika mereka mendaki. Namun apabila sampai di jalan awal pendakian, mereka mula keliru kerana terdapat banyak cabang jalan dan terus menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan," katanya.

Kesemua pendaki berkenaan difahamkan tidak mempunyai permit dan gagal mengikuti prosedur ditetapkan bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti pendakian.

Dalam pada itu, petugas Raf Point, Muhammad Yazid Ayub berkata, kesemua mangsa dibawa turun melalui Raf Point yang juga merupakan antara pintu masuk yang digunakan oleh para pendaki ke Gunung Panti.

Katanya, bagi petugas Raf Point ia merupakan pengalaman pertama mereka berdepan dengan pendaki yang sesat dan bersama-sama dalam usaha mencari tersebut.

Jelasnya, Raf Point merupakan laluan yang paling sesuai untuk menuju ke puncak Gunung Panti dan jika berlaku kejadian pendaki sesat, bantuan lebih mudah diusahakan oleh pihak keselamatan melalui kawasan rekreasi itu.

"Kita juga menasihatkan agar pendaki-pendaki memohon permit terlebih dahulu di mana bagi mereka yang menggunakan laluan di Raf Point kami tidak akan membenarkan laluan kami digunakan sebagai laluan tikus tanpa permit.

"Bahkan di Raf Point kami bersedia membantu pendaki mendapatkan permit untuk melakukan aktiviti mendaki ini tetapi sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal.

"Rancanglah dan ikutlah prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan lebih penting laporkan kepada Balai Polis Batu Ampat jika hendak melakukan pendakian di Gunung Panti ini," katanya.