BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan empat bot ‘barter trade’ ketika Op Khas Kapal Kecil Bukan Konvensyen, di perairan Batu Pahat, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Mohamad Othman berkata operasi bermula 3.45 hingga 6 petang itu membabitkan dua bot ronda milik Maritim Zon Batu Pahat dengan kekuatan 12 anggota.

Beliau berkata kesemua bot terbabit dikesan di sekitar kawasan 0.7 hingga 0.25 batu nautika Pulau Sialu, dekat sini, oleh anggotanya ketika dalam operasi rutin yang membabitkan kawasan sepanjang perairan Selat Melaka.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, kesemua nakhoda bot tersebut gagal mengemukakan insurans bot barter trade, yang juga antara dokumen paling penting selain ia adalah kesalahan sekiranya tiada dokumen terbabit.

“Maritim memandang serius perkara ini dan akan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas bot-bot yang berada dalam perairan bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya kesemua bot terbabit dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kejadian menyalahi undang-undang untuk tampil melaporkannya kepada Maritim agar tindakan dapat diambil. -Bernama