SEGAMAT - Cubaan dua lelaki mahu mencuri sarang burung walit di Jalan Labis-Segamat, di sini membawa padah selepas mereka terperangkap dan gagal menemui jalan keluar dari dalam bangunan sarang burung tersebut, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu, tindakan suspek berusia 28 dan 34 tahun itu disedari anggota Balai Polis Labis yang melakukan rondaan.

“Sewaktu pemeriksaan dilakukan di kawasan berkenaan, anggota kami curiga apabila terlihat juntaian tali nilon gelap terjuntai di bawah bumbung bangunan sarang burung yang terletak bersebelahan hotel bajet.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tali berhampiran tangki air bahagian tepi bangunan hotel itu menghala ke dalam bilik sewa hotel yang dihuni dua suspek dan seorang wanita yang dipercayai isteri kepada suspek yang berusia 34 tahun,” katanya.

Raub berkata, ketika serbuan dilakukan, polis menemui sarang burung walit seberat 200 gram bernilai kira-kira RM500 yang diletakkan dalam bungkusan plastik merah selain menemui dadah jenis heroin seberat 11.39 gram.

Katanya, ketika serbuan juga, suspek terperangkap dalam bangunan sarang burung berkenaan dan gagal menemui jalan keluar kerana terdapat puluhan lubang sarang burung selain terpaksa dibantu anggota polis untuk turun ke dalam bilik hotel mereka.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mendaftar masuk ke hotel tersebut kira-kira 24 jam lalu dan pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati bumbung ke bangunan sarang burung berkenaan telah dipecahkan suspek.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg galas gelap suspek menemui pelbagai peralatan seperti tali nilon, batang paip PVC sepanjang kira-kira satu meter yang telah diubah suai, ragum dan pemutar skru,” katanya.

Menurutnya, ujian air kencing juga mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah dan kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.