SINGAPURA – Singapura menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia untuk mengesan dua lelaki yang hilang selepas sampan dinaiki mereka terbalik, Ahad lalu.

Dalam kenyataan di sini, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata sehingga tengah semalam, kapal Pengawal Pantai Polis Singapura (PCG) PH58 berada di tempat kejadian menjalankan operasi SAR.

Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) turut mengerahkan helikopter ke tempat kejadian untuk membantu operasi SAR, kata kenyataan itu.

MPA berkata pihaknya dimaklumkan oleh Pusat Penyelamat Maritim Johor pada kira-kira jam 7.30 malam Ahad, bahawa dua lelaki dilaporkan hilang setelah sampan dinaiki mereka terbalik sekitar jam 4.30 petang.

Kejadian itu berlaku 0.8 batu nautika ke tenggara Pulau Batu Putih (Pedra Branca), pada kedudukan latitud 01˚ 19.25’N dan longitud 104˚ 24.97’E, di dalam Wilayah Maritim Mencari dan Menyelamat Singapura, katanya.

MPA berkata sebuah kapal Tentera Laut Republik Singapura (RSN) segera dikerahkan ke tempat kejadian untuk operasi SAR.

Di samping itu, MPA sudah mengeluarkan maklumat meminta kapal-kapal untuk mengesan lelaki yang hilang itu dan melakukan pelayaran dengan berhati-hati di sekitar tempat kejadian tersebut.

MPA berkata pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut. - Bernama