JOHOR BAHRU – Dua calon peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)  dari SMK Mohd Khalid, di sini bukan sahaja tinggal dalam kejiranan yang sama di Taman Mutiara Rini malah sama-sama mendapat keputusan cemerlang dalam PT3.

Ras Qurratu Ain Mohd Yusof, 15 dan Yong Zong Sheng, 15 yang merupakan rakan sekelas turut berkongsi cita-cita sama untuk menjadi doktor selepas tamat pengajian masing-masing.

Ras Qurratu Ain berkata, dia bersyukur mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3 dan berazam untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi mencapai cita-citanya sebagai doktor kanak-kanak.

Anak bongsu dari empat beradik itu berkata, selain menumpukan perhatian ketika di sekolah dia turut mengulang kaji pelajaran di rumah sekurang-kurangnya empat hingga lima jam sehari antara jam 8 hingga 11 malam.

“Alhamdulillah, keputusan ini akan menjadi pendorong untuk saya lebih bersungguh-sungguh pada masa akan datang. Terima kasih kepada guru dan keluarga yang banyak membantu saya dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Zong Sheng yang merupakan anak kedua dari tiga beradik berkata, dia berharap dapat mencapai cita-citanya sebagai doktor pakar pembedahan kerana memang meminati bidang perubatan.

“Subjek yang paling saya minati adalah subjek Sains. Saya juga akan memperuntukkan empat hingga lima jam sehari untuk membuat ulangkaji, biasanya selepas tengah malam saya akan mulakan ulangkaji,” katanya.

Dalam pada itu, Ina Najwa Ruzaidi, 14 yang kematian bapa lima tahun lalu akibat leukemia, turut mencapai keputusan cemerlang dalam PT3.

Katanya, kepayahan ibunya, Junaidah Atan, 47 yang hanya bekerja sebagai tukang cuci untuk membesarkan dia dan kakaknya berusia 18 tahun menjadi pendorong untuknya belajar bersungguh-sungguh sekaligus memperoleh kecemerlangan.

“Mak perlu bekerja kuat untuk membesarkan saya dan kakak yang masih belajar di kolej. Saya banyak mengulang kaji pelajaran seorang diri, tetapi kalau mereka ada, saya ada bertanya kalau tidak faham.

"Memang sedih apabila teringatkan kepayahan mak yang perlu bekerja kuat selepas kematian ayah, sebab itu saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk membantu mak untuk hidup lebih selesa," katanya.

Seramai 50,004 calon menduduki pepriksaan PT3 bagi seluruh negeri Johor pada tahun ini termasuk 9,357 calon bagi daerah Johor Bahru, 9,782 calon bagi daerah Pasir Gudang serta 6,169 calon di Batu Pahat.