SENAI - “Alhamdulillah termakbul juga doa saya untuk membawa ibu ke Makkah,” kata Noridah Jonid, 58, dari Kota Tinggi.

Noridah bersama ibunya, Siti Esah Jaluddin, 76, serta suaminya, Mohd Daud, 61, antara 287 jemaah dari negeri ini berlepas ke Makkah menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, semalam.

Suri rumah itu berkata, ibunya selalu memberitahu teringin menunaikan rukun Islam kelima itu kerana sepatutnya giliran dia ke Makkah adalah pada 2091 selepas mendaftar haji dua tahun lalu.

“Syukur sangat kami menerima khabar gembira daripada Lembaga Tabung Haji yang kami diterima menjadi tetamu ALLAH pada musim haji kali ini.

“Enam adik saya juga turut sokong hasrat saya bawa ibu ke sana. Lagipun ibu kehilangan suaminya kira-kira 12 tahun. Gembira sangat ALLAH makbulkan doa saya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis mengucapkan selamat jalan yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Abdul Mutalip Abd Rahim di LTAS.

Dalam pada itu, Siti Esah menyatakan kegembiraan serta teruja apabila impiannya untuk menunaikan haji tercapai.

“Makcik benar-benar gembira. Harap makcik dapat diberikan kesihatan yang baik dan memberi tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna serta memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Bagi Ahmad Mohd Ali, 65, dan isterinya, Rosnani Johar, 60, dari Felda Layanglayang, Simpang Renggam, mereka bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu ALLAH pada musim haji kali ini.

“Selepas buat umrah empat tahun lalu, saya terkena strok dan beberapa kali juga rayuan dibuat untuk tunai haji kerana sepatutnya giliran kami hanya tiba pada 2030 selepas mendaftar haji pada 2011.

“Saya kira ini adalah rezeki kepada saya dan isteri. Diharap saya dapat tunaikan ibadah ini dengan sempurna,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEPANG - Rombongan jemaah haji yang selamat pulang ke tanah air menyifatkan layanan yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji kepada mereka sepanjang menunaikan ibadat di tanah suci Makkah itu adalah terbaik.
  • TANGKAK - “Kami masih ingat lagi terujanya arwah abah bila terima surat memaklumkan yang dia dan mak terpilih menjadi tetamu ALLAH pada tahun ini.
  • KUALA NERANG - Dahulunya warga emas dari Kampung Seberang Padang Sanai, Mukim Batang Tunggang Kanan, di sini, kerap kali mengikat perut hanya kerana mahu menyimpan duit untuk menunaikan haji.
  • GONG BADAK - Semua bakal haji di negeri ini diingatkan agar mengikut segala peraturan dan undang-undang ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang berada di Tanah Suci nanti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.