JOHOR BAHRU – Dua warga Indonesia masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen ,di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyimpan 247 ekor burung murai batu yang juga spesies hidupan liar dilindungi, minggu lalu.

Aat Yudianto, 49 dan Ernawan Hadianto, 25, turut berdepan hukuman penjara 12 bukan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama-sama didakwa menyimpan 214 ekor burung murai batu yang juga spesies hidupan liar dilindungi di bahagian bawah tempat letak barang sebuah bas di Kilometer 32.8 arah selatan, berhampiran Hentian Sebelah Kulai dekat Kulai, kira-kira 6.10 pagi, 14 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa bagi pertuduhan kedua dan ketiga iaitu menyimpan tiga ekor burung murai batu yang tidak matang dan 30 ekor burung murai batu betina di tempat, masa dan hari yang sama.

Perbuatan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 61 dan Seksyen 62 akta yang sama yang mana kedua-duanya membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Kamarudin Kamsun kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama, manakala masing-masing RM5,000 bagi setiap seorang untuk pertuduhan kedua dan ketiga.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, seorang pemandu bas ekspres, Yusof Misoun, 61 yang turut menghadapi tiga pertuduhan yang sama mengaku tidak bersalah.

Kamarudin kemudiannya menetapkan tarikh 6 April depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan Yusof diikat jamin RM5,000 tanpa cagaran.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Shamsul Hakim Ahmad, manakala Aat dan Ernawan diwakili peguam Muhammad Ashraf Mohd Diah dan Yusof diwakili peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib.

Terdahulu, Muhammad Ashraf dalam rayuan memohon mahkamah menetapkan denda minimum terhadap Aat yang berasal dari Cilacap dan Ernawan berasal dari Jakarta.

Manakala, Mohd Tarmeze yang mewakili Yusof pula memohon mahkamah mengurangkan jaminan memandangkan dia bekerja sebagai pemandu bas yang memiliki seorang isteri dan tiga anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) dan dikatakan tidak ada kena mengena secara langsung dalam kes tersebut.
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.