Kamsol menunjukkan air berwarna hitam dari tali air.
SIMPANG RENGGAM – Penduduk Lorong Enam Taman Puteri Emas di sini, tertekan berikutan terpaksa menghidu bau busuk akibat pencemaran di tali air berhampiran rumah mereka sejak lima tahun lalu.
Penduduk, Kamsul Pairan, 33 berkata, keadaan di tali air itu yang mana airnya berwarna hitam yang mengeluarkan bau busuk dan meloyakan.
Menurutnya, masalah itu sudah diajukan kepada pihak bertanggungjawab namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil bagi mengatasinya.
“Malah, masalah yang berlaku ini semakin berlarutan sehingga kini. Apa yang menyedihkan adalah, aliran daripada tali air ini menuju ke Sungai Parit Haji Hashim yang mana di sungai tersebut terletaknya satu loji rawatan air.
“Seingat saya, lebih kurang 10 kali perkara ini dimaklumkan kepada pihak yang sepatutnya namun, pihak berkenaan hanya memaklumkan kepada penduduk bahawa mereka akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Sehingga sekarang, tiada juga tindakan yang diambil malah dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang langkah-langkah penyelesaian yang dijalankan,” katanya.
Kamsul berkata, penduduk di taman tersebut amat kesal kerana hak mereka sebagai sebagai penduduk setempat untuk menikmati kehidupan yang sihat seolah-olah dipandang remeh oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab mengatasi masalah berkenaan.
Katanya, jika dilihat pada setiap hujung minggu ataupun cuti umum keadaan air di tali air itu akan bertambah teruk malah bau yang dikeluarkan juga bertambah busuk.
“Apabila menjelang malam, kami rasa mahu tidak selesa dan seakan-akan mahu berpindah ke tempat lain sementara menunggu siang kerana pada ketika itu, bau daripada tali air tersebut amat busuk dan merimaskan penduduk yang tinggal berhampiran,” katanya.
Sementara itu, bagi Amal Basri Satiman,46, berkata, sebelum keadaan ini berlaku setiap petang pasti ramai anak-anak muda dari taman berkenaan yang akan memancing ikan di tali air tersebut.
Beliau berkata, disebabkan pencemaran yang berlaku, telah mengakibatkan ikan semakin tiada di tali air berkenaan malah, aktiviti memancing juga tidak dijalankan lagi oleh mereka.
“Berikutan masalah yang berlaku, jelas menunjukkan air di dalam tali air ini telah tercemar teruk dan pihak yang bertanggungjawab sepatutnya mengambil tindakan sebelum ianya merebak ke sungai utama yang menjadi sumber minuman penduduk dalam kawasan Simpang Renggam ini.
“Kami penduduk di taman ini berharap sangat masalah yang dihadapi ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
- Kain rentang fitnah psiko pengundi
- Ribut 10 minit, bumbung 15 rumah rosak
- Mahu jadikan Machap pusat pendidikan
- Cerita pengalaman Lahad Datu
- Teck Meng: Bantuan RM100 hak rakyat
- Penantian 45 tahun berbaloi
- Projek didakwa tak selamat
- Kukuh industri tani negara
- Derita hidu bau busuk
- Penantian 30 tahun berbaloi




