JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor membidas kenyataan Ketua Pembangkang negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad yang mendakwa pemberian 10 meter padu air percuma kepada golongan B40 yang akan dilaksanakan bermula akhir bulan depan sebagai tidak memberi kesan kepada rakyat.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keputusan tersebut adalah komitmen kerajaan negeri Pakatan Harapan (Harapan) demi kebajikan rakyat negeri ini.

“Dulu mereka beri BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) katanya nak tolong rakyat zaman GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

“Tapi apabila kami beri air percuma sekarang, mereka pula kata tak memberi kesan kepada rakyat. Habis, duit kerajaan kalau tidak belanja demi kebajikan rakyat, hendak simpan buat apa? Ada kegunaan lain atau nak salur ke tempat ‘istimewa’ ke?,” katanya seperti dipetik dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, semalam.

Jimmy Puah berkata, kerajaan Harapan tidak melakukan rasuah dan tiada terlibat dalam mana-mana skandal malah dipilih rakyat untuk mengubah sistem korup pentadbiran terdahulu.

“Kalau hendak jadi pembangkang pun, jadi pembangkang yang bertanggungjawab. Kalau awak tidak hendak air percuma, itu hak kamu, tapi kami tetap komited untuk tolong rakyat ringankan beban hidup mereka.

“Mungkin RM8 sebulan itu tak bermakna kepada pemimpin Umno-BN, tetapi rakyat Johor menanti-nantikan bantuan. Bukan semua orang sekaya kamu semua,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, semua pihak termasuklah pemimpin pembangkang tidak perlu bimbang akan impak kewangan jika pemberian air percuma 10 meter padu kepada golongan B40 dilaksanakan.

“Jangan bimbang impak kewangan. Kalau tidak rasuah, kerajaan Harapan Johor memang dapat cari duit membiayai skim ini demi kebajikan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Hasni dalam satu kenyataan menyatakan keputusan kerajaan tersebut hanya akan menguntungkan syarikat air sahaja yang dimiliki pihak swasta selain faedah akujanji ditawarkan Harapan Johor itu sebagai tidak memberi kesan kepada rakyat.

Ditanya Sinar Harian mekanisme untuk menjayakan pemberian tersebut, Jimmy Puah memberitahu beliau akan membuat sidang media bagi menjelaskan perkara itu dalam masa terdekat.