NUSAJAYA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan membina pagar elektrik sepanjang 17 kilometer (km) bernilai RM717,000 bermula di Felcra Batu 26 ke kawasan Kampung Orang Asli Berasau, Kahang bagi mengatasi masalah gangguan gajah liar.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong berkata, projek penyambungan pagar elektrik yang tidak bersambung sepanjang 200 meter atas  keengganan seorang pemilik tanah akan dijalankan selewat-lewatnya Julai ini.

Menurutnya, selain itu operasi pemindahan gajah akan dijalankan di Kampung Sri Lukut, Kahang pada akhir Jun ini. “Operasi berkenaan mensasarkan kumpulan tiga ekor gajah yang sedang berkeliaran di sekitar kawasan hutan dan pinggir kampung terlibat.

“Satu Jawatankuasa Khas Konflik Gajah Liar Kampung Sri Lukut akan dibentuk oleh penduduk kampung dan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Sri Lakut, 

Perhilitan dan Jabatan Perhutanan,” katanya. Kok Hong (BN-Bekok) berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor Kali Ke-12 di sini, semalam.

Dalam pada itu katanya, kertas cadangan disediakan bagi mendapatkan peruntukan untuk menjalankan projek pembinaan parit sepanjang jajaran pagar elektrik dan projek penyambungan pagar elektrik di kawasan terlibat.

Untuk menyelesaikan masalah banjir bagi tempoh jangka panjang, Kok Hong berkata, kolam tebatan banjir di Sungai Mengkibol dan Sungai Kluang akan dibina sebagaimana terkandung dalam Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir  Daerah Kluang.

“Bagi penyelesaian jangka pendek pula, sebahagian air dari Gunung Lambak akan dialihkan ke Sungai Sembrong Kecil dan permohonan peruntukan bagi mengatasi masalah itu telah dikemukakan melalui Rancangan Malaysia ke-10  (RMK-10),” katanya. 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NUSAJAYA - Lebih 50 pemandu teksi dari Pertubuhan Pemandu Teksi Semenanjung Malaysia (Petekma) Johor Bahru berhimpun menyerahkan memorandum menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan membenarkan perkhidmatan Uber beroperasi secara sah.
  • NUSAJAYA - Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) akan mengumumkan pelaburan baharu berasaskan penggunaan sumber daripada industri kelapa sawit pada suku pertama tahun hadapan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.