SENAI - Gara-gara cuba menaiki pesawat penerbangan tanpa tiket, seorang lelaki nekad bertindak ganas mencekik pegawai polis dalam satu kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, tindakan agresif lelaki berkenaan dipercayai apabila dirinya diarahkan keluar oleh polis berkenaan kerana gagal menunjukkan dokumen penerbangan sepatutnya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 23 tahun itu dilaporkan sudah pun melepasi balai berlepas, namun pemeriksaan dijalankan mendapati dia tidak mempunyai tiket penerbangan.

"Pihak polis LTAS dimaklumkan oleh polis bantuan bahawa suspek menceroboh masuk ke dalam balai berlepas tanpa melalui pemeriksaan awal keselamatan dan dia gagal menunjukkan dokumen diri serta tiket penerbangan apabila diminta.

"Seorang pegawai polis kemudian memperkenalkan diri dan mengarahkan serta mengiringi suspek keluar dari balai berlepas tetapi ketika dalam perjalanan keluar, tanpa disedari, suspek bertindak agresif mencekik leher polis itu dan menolaknya sehingga berlaku sedikit pergelutan di bawa ke balai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal, suspek mengaku menceroboh balai berlepas LTAS dan tidak memiliki tiket penerbangan untuk menaiki pesawat.

“Kita juga berjaya menyaksikan kejadian terbabit (polis dicekik) menerusi rakaman kamera litar tertutup yang berada di lapangan terbang,” katanya.

Katanya, suspek berasal dari Sabah sudah tinggal di Semenanjung Malaysia kira-kira setahun.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan tiada rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.