JOHOR BAHRU - PKR Cabang Sembrong akui berlaku kesilapan berkaitan pendaftaran keahlian beberapa ahli yang mendakwa mereka sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dun Kahang.

Menurut Ketua Cabang PKR Sembrong, Mohd Yusof Ahmad, masalah tersebut telah diketahuinya dan sedia maklum beberapa ahli AMK yang masih belum didaftarkan.

Katanya, kesilapan itu disebabkan pucuk pimpinan berikutan sebelum ini, beliau telah menyerahkan borang-borang pendaftaran keahlian kepada Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang sebelum ini bersama PKR ketika lawatannya ke Kahang lebih kurang tiga tahun lalu.

"Borang-borang pendaftaran keahlian itu telah diserahkan namun mungkin berlaku kesilapan dan terlepas pandang untuk menyemak semula pendaftaran berkenaan.

"Lagipun, wakil yang diserahkan borang tersebut sudah tidak bersama PKR. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan mana-mana pihak lagipun mereka yang mendakwa tidak didaftarkan keahlian itu boleh mengisi semula borang apabila dibuka nanti.

"Sesi pendaftaran keahlian dijangka akan dibuka semula pada bulan September depan. Saya alu-alukan mereka untuk mengisi semula borang pendaftaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian,hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai seramai 20 pemuda yang mendakwa dirinya ahli AMK meluahkan rasa kecewa apabila keahlian mereka tidak didaftarkan oleh parti sejak 2013.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, PKR cabang Sembrong tidak menghalang mereka untuk menyertai parti itu.

"Saya amat mengalu-alukannya tetapi tidak perlulah untuk menjadi 'hero' dalam parti malah penglibatan mereka itu tidak terlalu aktif sepanjang bersama PKR Sembrong," katanya.