JOHOR BAHRU – Cuti seramai 350 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Johor yang bertugas di dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) negeri ini dibekukan pada 8 hingga 10 Mei ini bagi memastikan PRU14 berjalan lancar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, langkah tersebut melibatkan kakitangan dan pegawai yang bertugas di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah.

Menurutnya, pendekatan itu juga bertujuan memudahkan rakyat di negara ini yang bekerja atau tinggal di Singapura untuk pulang mengundi pada 9 Mei depan.

“Saya nak jawab balik tohmahan pemimpin DAP Johor yang seolah-olah memperolok-olokkan Jabatan Imigresen dan kata harap KDN (Kementerian Dalam Negeri) memastikan perjalanan mereka yang akan kembali dari Singapura untuk mengundi tidak dihalang.

“Kita (KDN) tidak pernah menghalang orang ramai balik mengundi. Masalah kesesakan di kedua-dua CIQ adalah masalah setiap hari dan berapa ramai kita letak pegawai pun tetapi pada waktu tertentu tidak dapat mengelak kesesakan apabila pengunjung ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Pegawai, Kakitangan dan Keluarga Jabatan Imigresen Johor, di Kuarters Imigresen Taman Kenanga, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Datuk Rohaizi Bahari.

Nur Jazlan berkata, kelewatan di Singapura adakala dicampuradukkan dengan kesesakan di Tambak Johor.

“Kadang-kadang Tambak Johor tidak sibuk tetapi di Singapura pula sibuk tetapi kita juga dipersalahkan. Jadi, kita tidak pernah halang sesiapapun balik. Lagipun ini tidak menjadi isu kerana 9 Mei itu adalah hari cuti dan kesesakan akan berlaku. Tetapi Jabatan Imigresen Johor diarahkan memastikan semua pegawai dan kakitangan yang bertugas akan hadir dan semua kaunter dibuka.

“Jabatan Imigresen Johor membekukan cuti 250 pegawai dan kakitangan imigresen di BSI dan selebihnya iaitu 100 pegawai dan kakitangan imigresen di KSAB pada 8, 9 dan 10 Mei ini,” katanya.