JOHOR BAHRU - Pusat Peduli Rakyat Puteri Wangsa mendakwa terdapat aktiviti pengorekan pasir di sekitar tebing anak Sungai Tebrau berdekatan Kampung Maju Jaya, Tebrau, di sini, sejak setahun lalu tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Pengerusinya, Suhaizan Kaiat berkata, masalah tersebut menimbulkan kepayahan dan kerunsingan kepada penduduk sekitar kawasan itu.

“Dalam tinjauan yang dilakukan pihak kami, didapati pasir yang diambil di sekitar kawasan tebing anak Sungai Tebrau itu mencurigakan dan keadaan tebing sungai itu mengalami kerosakan teruk dengan aktiviti yang dijalankan di situ.

“Menurut penduduk kampung, operasi pengambilan pasir haram itu telah berlangsung selama hampir setahun.

“Penduduk juga memaklumkan telah membuat aduan, namun sehingga kini masih belum ada tindakan dilakukan,” katanya.

Suhaizan mendesak agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan kerana aktiviti itu bukan sahaja akan mencemarkan sungai sebaliknya penduduk kampung terpaksa menanggung pencemaran udara kerana risiko debu dan habuk yang teruk.

“Kegiatan pengambilan pasir haram ini kadang kala dilakukan sekitar lewat malam bermula jam 10.30 malam sehingga 4.30 pagi dan ia turut mengakibatkan pencemaran bunyi bising,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Whip Majlis Bandaraya Johor Bahru merangkap Ahli Majlis Tiram, Abd Aziz Tohak berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan tentang permasalahan tersebut.

“Kita akan semak sama ada aktiviti tersebut dilakukan pihak tertentu bagi tujuan penyelenggaraan sungai tersebut sama ada untuk mendalamkan sungai bagi mengelakkan banjir.

“Saya akan bawa aduan ini kepada mesyuarat yang akan datang untuk disiasat,” katanya.