ISKANDAR PUTERI - Sebanyak lapan bot pukat tunda ditahan pihak berkuasa kerana menceroboh perairan pantai barat negeri ini, pada tahun lepas dan tahun ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima bot antara Mac dan Disember tahun lepas, manakala Maritim Malaysia pula menahan tiga bot antara Jan dan Jun tahun ini.

“Kegiatan pukat tunda menjejaskan sumber perikanan terutamanya anak-anak ikan. Kawasan tangkapan pukat tunda di perairan barat Johor amat sempit dan bersempadanan dengan Indonesia.

“Kegiatan pukat tunda ini sering menceroboh kawasan tangkapan nelayan tradisional iaitu kawasan kurang lima batu nautika dari pantai untuk mendapatkan hasil yang lumayan,” katanya ketika Sidang Dun Johor ke-14, di sini, semalam.

Beliau (PH-Bukit Kepong) berkata demikian ketika menjawab soalan Ir Khairuddin A Rahim (PH-Senggarang) mengenai tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah pukat tunda kerana ia menjejaskan pendapatan nelayan tradisional.

Katanya, rentetan permasalahan pukat tunda yang dihadapi di seluruh negara, Jabatan Perikanan telah mengeluarkan pekeliling dasar perikanan pada 28 Disember 2015 iaitu Pekeliling Pelesenan Bil 4/2015 (Pelaksanaan Dasar Penghapusan Pukat Tunda) yang beroperasi di zon B bermula 1 Januari 2016 secara berperingkat melalui kaedah kawalan.

“Kaedah kawalan yang dimaksudkan termasuk bagi kesalahan menunda di bawah lima batu nautika, maka, lesen akan digantung selama setahun dan sebarang pindah milik lesen serta bot juga adalah dilarang,” katanya.

Untuk rekod, beliau berkata, sebanyak 136 lesen pukat tunda dikeluarkan bagi menjalankan kegiatan tersebut di kawasan perairan barat Johor babit 87 lesen di Pontian dan 49 di Batu Pahat.