TANGKAK - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakan-rakannya di anak sungai di Kampung Sri Menanti, Batu 20, Sengkang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, mangsa, Mohd Afiq Zahran Zamri sebelum itu dilaporkan hilang selepas didakwa dibawa arus ketika cuba menaiki tebing anak sungai berkenaan.

"Terdahulu, mangsa bersama lebih 10 lagi rakannya berusia antara 10 hingga 12 tahun dikatakan mandi bersama petang semalam di sungai sedalam hampir dua meter itu.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 5 petang ketika masing-masing mahu memanjat tebing, mangsa dilaporkan tergelincir ke dalam sungai.

"Rakan-rakan mangsa cuba bantu namun tidak sempat kerana air yerlalu deras dan terus menghanyutkan mangsa," katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat dijalankan sebaik pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Menurutnya, mangsa ditemukan kira-kira jam 8.45 pagi tadi pada jarak 700 meter daripada lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

"Mayat telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bukit Gambir, Mohd  Khairul Sufian Dahari berkata, mayat kanak-kanak terbabit ditemukan tersangkut pada sebatang pokok sawit yang melintang di anak sungai tersebut oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Muar.

"Seramai 23 anggota daripada Balai Bomba Bukit Gambir dan empat anggota PPDA pada mulanya turut memasang jaring pada penghujung anak sungai berkenaan bagi mengelak mangsa hanyut berikutan kami hanya menerima panggilan kecemasan kira-kira dua jam selepas kejadian," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.