JOHOR BAHRU - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada cubaan membunuh diri di tingkat 11, Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana di sini, hari ini.

Ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 12.41 petang tadi.

“Saya bersama 14 anggota, dua jentera dan satu Unit Emergency Medical Rescue Service (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa cuba membunuh diri dengan duduk di atas tembok koridor dalam keadaan kaki terkeluar di tingkat 11. Mangsa kemudiannya ditarik ke dalam bangunan dari arah belakang mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Nazran berkata, mangsa dipujuk dan ditenangkan oleh dua pegawai bomba wanita sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi berkenaan tamat jam 1.24 petang.