JOHOR BAHRU - BN Johor akan menumpukan usaha merampas kembali kerusi Parlimen di negeri ini, yang tewas pada PRU13 lalu.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan walaupun pembangkang melahirkan keyakinan untuk menawan 15 kerusi Parlimen di negeri ini, pada PRU ke-14 akan datang.

"Suruh mereka (pembangkang) sebutkan kawasan mana (15 kerusi) yang mereka hendak tawan di Johor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Jualan Mega Muafakat Johor 2017 di kawasan parkir Stadium Tertutup Pasir Gudang, di sini hari ini.

Beliau diminta ​​​​​mengulas kenyataan pemimpin Pakatan Harapan, yang yakin menawan 15 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU14, selepas mesyuarat khas Pakatan Harapan Johor di sini, semalam.

Pada pilihan raya umum lalu, BN Johor menguasai 21 daripada 26 kerusi Parlimen. Lima kerusi yang dikuasai pembangkang adalah Kulai, Gelang Patah, Kluang, Batu Pahat dan Bakri, sebelum Parlimen Pagoh menjadi kerusi pembangkang.

Mengenai Karnival Jualan Mega Muafakat Johor, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata penganjurannya yang memasuki kali kedua, akan diperluaskan di kawasan Iskandar Malaysia.

Beliau berkata penganjurannya juga akan diadakan tiga kali setahun berbanding sekali setahun ketika ini.

"Penganjuran karnival seumpama ini dilihat dapat membantu rakyat dalam berdepan kenaikan harga barang yang tidak menentu pada masa ini. Sesungguhnya, kerajaan Johor amat prihatin terhadap kesusahan kepada rakyat," katanya.

Karnival Jualan Mega Muafakat Johor 2017 dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor itu, diadakan selama tiga hari bermula hari ini.

Lebih 50 pengeluar barangan dan pempamer menyertai karnival berkenaan. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.