JOHOR -  Kerajaan negeri digesa untuk terus mendesak kerajaan persekutuan merundingkan semula harga 3 sen setiap 1,000 gelen air yang dijual kepada Singapura.

Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, BN menyokong tindakan kerajaan negeri berkaitan harga jualan air itu.

Menurutnya, perkara itu boleh dilakukan kerana dalam perjanjian, semakan semula kadar harga tersebut dibenarkan.

Katanya, Kerajaan negeri juga tidak perlu bimbang kerana dalam perjanjian semakan semula kadar harga tersebut adalah dibenarkan dan pihak peguam negara (AG) juga mengesahkan Malaysia mempunyai hak untuk kemuka kadar baru.

“Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri satu ketika yang menyebabkan perundingan harga baru dibatalkan apabila Singapura mengenakan pelbagai syarat seperti tanah KTM di Tanjung Pagar, kuota eksport pasir, penggunaan ruang udara dan kedudukan pencarum CPF.

“Sekarang ini, perkara yang pernah menjadi syarat tidak lagi sepatutnya timbul kerana ia sama ada sudah tidak lagi menjadi isu atau telah pun di selesaikan.

“Saya percaya Tun Mahathir mempunyai ‘political will’ untuk melaksanakan tuntutan ini walaupun berkemungkinan Singapura akan mengaitkan ia dengan isu Pulau Batu Puteh selain menaikkan juga harga air terawat yang Singapura bekalkan kepada Johor.

“Sebab itu, saya selaku Ketua Pembangkang berpendapat, pemberian air percuma hanya akan menguntungkan syarikat air dan bukannya rakyat apabila mereka yang berkemampuan juga turut diberikan subsidi air,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasni yang juga merangkap Adun Benut berkata, air adalah nyawa dan tanpa air satu tamadun itu boleh hilang.

Katanya, bekalan air mentah 250 juta gelen sehari akan membuatkan Singapura melakukan apa saja bagi menjamin kedudukan mereka.

Pada 5 Julai lalu, Menteri Besar, Datuk Osman mengumumkan, kerajaan negeri akan menaikkan harga jualan air mentahnya kepada Singapura pada nilai berpatutan dan sesuai dengan keadaan semasa.

Katanya, harga baharu itu berkemungkinan sama dengan kadar jualan air mentah yang ditetapkan untuk kerajaan Melaka iaitu RM0.50 sen bagi setiap 1,000 gelen atau kurang daripada nilai itu, namun tidak kekal seperi harga sekarang.