TANGKAK - Batu yang bertaburan atas jalan akibat jatuh daripada lori yang berulang-alik menggunakan jalan dari kawasan projek pembinaan mengundang kebimbangan penduduk.

Adun Tangkak, Ee Chin Li berkata, kebelakangan ini, pusat komuniti sering menerima aduan penduduk setempat berkaitan batu jatuh di atas jalan.

“Mereka yang bertanggungjawab harus memainkan peranan dan mencari langkah betul bagi memastikan keselamatan orang lain. Perkara ini membimbangkan pengguna yang lain terutama penunggang motosikal kerana bimbang terjatuh.

“Taburan batu di beberapa kawasan jalan di sini membahayakan orang ramai. Justeru, pihak berkenaan ataupun syarikat berwajib perlu memikirkan langkah terbaik memastikan masalah tidak berpanjangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Chin Li turun padang meninjau permasalahan dihadapi penduduk dan menghubungi syarikat SWM Development untuk memohon bantuan.

“Beberapa pekerja SWM datang ke kawasan terlibat bagi membersihkan batu yang bersepah di atas jalan sepanjang hampir 100 meter.

“Di sini, saya ingin nasihatkan agar kilang batu-bata dan pemandu lori supaya bertanggungjawab jika barang atau sebagainya jatuh atas jalan raya kerana membahayakan pengguna lain,” katanya.

Chin Li dalam pada itu turut memberi penghargaan kepada SWM atas tindakan segera sebelum kejadian tidak dingini berlaku.