JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan mewujudkan bilik penyusuan bayi di setiap pejabat kerajaan di negeri ini menjelang November nanti.

Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan, Liow Cai Tung berkata, usaha tersebut seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Johor negeri mesra ibu dan bayi dalam memberi sokongan kepada ibu menyusu.

Katanya, langkah pertama itu akan dilaksanakan menerusi Kempen Mesra Ibu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Usaha murni ini kita akan mulakan dengan sediakan bilik penyusuan khas bermula di pejabat saya di Kota Iskandar.

“Bilik khas ini lebih selesa dan bersesuaian dengan tempat untuk mengepam susu,” katanya ketika ditemui selepas program Malaysia book of record - gift of love 5 minute simultaneous breastfeeding di Sutera Mall, di sini, semalam.

Seramai 33 ibu hadir bersama anak masing-masing bagi menyertai program berkenaan.  

Dalam pada itu, Cai Tung berkata, kerajaan negeri juga akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sektor swasta untuk mewujudkan bilik penyusuan bayi di pejabat mereka serta pusat beli-belah di negeri ini.

“Harapan kami, bilik itu akan memudahkan ibu yang bekerja atau mereka yang selalu bergerak untuk menguruskan anak masing-masing.

“Untuk menyediakan bilik tersebut ia tidak memerlukan kos yang tinggi dan pihak swasta diharap dapat bersama-sama melaksanakan usaha ini di pejabat mereka,” katanya.