MUAR – Sejumlah 219 anggota keluarga daripada keturunan Bahar Babu, seorang  bekas pemimpin masyarakat yang disegani  penduduk Kampung Parit Bunga di sini, buat julung kalinya mengadakan perhimpunan di Dewan Sekolah Kebangsaan Parit Bunga, dekat sini, hari ini.

Amran Ab Rahman, 54, selaku Penaung Perhimpunan Keluarga Keturunan  Bahar Babu dan Zainab Latif, berkata, perhimpunan itu diadakan untuk mengumpul keturunan besar keluarga Bahar Babu selain mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota keluarga tersebut.

“Kami mempunyai keluarga besar iaitu kira-kira 280 orang melibatkan lima generasi yang kini menetap di tempat yang berbeza. Ada yang menetap di Johor Baharu, Kota Tinggi, Batu Pahat, Melaka dan Pahang,” katanya kepada Bernama, di sini.

Amran, yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), berkata datuknya itu pernah menjadi ketua kampung Parit Bunga selama 18 tahun sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1969 pada usia 65 tahun.

“Bahar Babu merupakan antara pemimpin tempatan yang disegani  penduduk kampung dan merupakan  guru al-Quran yang mengajar penduduk kampung Parit Bunga serta kampung sekitarnya,” katanya.

Menurutnya sebagai mengenang jasa datuknya itu, penduduk kampung Parit Bunga menamakan sebuah surau di Batu Empat, Parit Bunga dengan nama Surau Haji Bahar dan sebuah jalan yang dikenali sebagai Jalan Haji Bahar (di Kampung Parit Bunga).

Amran berkata, datuknya juga terlibat dalam pengurusan feri yang digunakan  orang ramai untuk ke Muar menerusi jalan sungai kerana pada ketika itu belum ada jalan darat yang menghubungkan Parit Bunga dengan  bandar Muar.

Beliau berkata, oleh sebab rumah tradisi lama datuknya telah tiada, beliau membina sebuah Rumah Limas (Rumah Tradisional Masyarakat Johor) pada tahun 2015 bagi mengembalikan nostalgia kehidupan masyarakat kampung pada tahun 60-an dan 70-an di Kesang Tasik, Muar.

“Dengan cara ini kami dapat memberi peluang kepada saudara mara yang tinggal di bandar merasai nikmat suasana kehidupan di kampung dengan menyediakan makanan kampung kepada mereka setiap kali perjumpaan pada  Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Jamak Bahar, 70, yang merupakan  anak bongsu Bahar Babu, berkata bapanya seorang yang tegas dalam mendidik enam anaknya dalam ilmu agama.

“Ketika masih kecil saya masih ingat lagi, selain menjadi pemimpin masyarakat,  arwah bapa saya menjadi imam di surau berdekatan dan beliau juga merupakan  guru al-Quran yang tegas,” katanya.

Jamak berkata pada tahun 60-an bapanya bergiat aktif  dalam masyarakat, termasuk menyalurkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan, contohnya untuk membina parit. - Bernama