JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor disaran memberikan perhatian terhadap instrumen wakaf dan isu air dalam belanjawan yang akan dibentangkan hujung bulan ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, wakaf merupakan instrumen sangat penting malah kian sinonim dengan ekonomi serta pemerkasaan sosial Johor.

Menurutnya, sudah banyak projek serta inisiatif yang dijayakan di Johor menggunakan instrumen wakaf seperti kompleks stesen bas moden Larkin Sentral.

“Wakaf mempunyai potensi besar yang mesti dioptimumkan. Banyak tanah wakaf di seluruh Johor yang masih tidak dibangunkan dengan selayaknya.

“Malah, institusi-institusi yang terlibat dengan wakaf, belum cukup radikal, inovatif dan mantap dalam mempromosi serta menjayakan agenda wakaf di Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, semua institusi terlibat mesti diperkasa, diberi kuasa dan dimantapkan agar agenda wakaf Johor akan berjalan lancar dan berkesan.

Katanya, atas dasar itu, semasa pembentangan Bajet 2018 pada November tahun lalu serta dalam manifesto BN Johor PRU-14, wakaf menjadi antara perkara utama yang dirinya tekankan.

Beliau memberitahu penekanan terhadap instrumen wakaf itu diletakkan sebagai salah satu agenda kritikal yang akan difokuskan.

“Saya percaya Kerajaan Negeri Johor hari ini mesti mempamerkan komitmen yang lebih baik untuk terus memperkembang dan mengukuhkan wakaf sebagai instrumen membangunkan kesejahteraan di Johor.

“Institusi-institusi yang terlibat dengan wakaf Johor mesti menerima sokongan dan galakan yang serius dan besar dari Kerajaan Negeri. Bukannya diganggu atau dilemahkan. Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mesti menunjukkan kesungguhan ini,” katanya.

Selain itu, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, Johor berhadapan dengan masalah air berterusan malah ia hadir dalam dua bentuk iaitu bekalan dan perkhidmatan sering terganggu serta caj atau tarif yang sangat mahal.

Ujarnya, beliau sudah kerap kali menegaskan keperluan dan kewajaran untuk Kerajaan Johor mengambil alih Ranhill SAJ.

“Bukan sahaja kerajaan negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dengan rizab kira-kira RM4 bilion. Tetapi, kelebihan yang akan diperolehi sangat besar. Ia akan meningkatkan kecekapan pengurusan dan agihan bekalan serta merendahkan tarif dan caj air.

“Adalah amat merugikan jika rizab negeri yang besar ini tidak digunakan untuk manfaat rakyat Johor sendiri. Malangnya, kerajaan negeri dengan terburu-buru bukan sahaja telah menolak saranan ini. Tetapi tampil dengan idea drastik dan melulu untuk menubuhkan pula syarikat air Johor yang baharu,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, lebih menyedihkan, sehingga kini rakyat Johor belum mendengar apakah status dan perkembangan terkini berhubung idea penubuhan syarikat air Johor baharu.

“Atau adakah ia hanyalah satu pengumuman yang dibuat secara semberono tanpa sedikit pun keseriusan untuk melaksanakannya?,” katanya.

Oleh itu, katanya, Menteri Besar Johor bertanggungjawab untuk membentangkan pelan dan strategi untuk mengatasi masalah air negeri ini dalam Bajet Johor 2019.

“Adalah beliau akan meneruskan cadangan membuka syarikat air Johor yang baharu? Sudahkah syarikat yang akan dibuka ini mempunyai apa-apa kepakaran, infrastruktur dan dana buat masa kini?,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Menteri Besar Johor mesti mempamerkan keupayaan untuk mengemukakan solusi kepada masalah air dan memaksimumkan potensi wakaf Johor.

“Berhentilah memberi fokus kepada proses penukaran nama sahaja kepada semua inisiatif berjaya yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Ia bukan sahaja membazirkan sumber, masa dan tenaga. Tetapi tidak memberi nilai tambah yang sebenar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau juga sangat berharap yang kedua-dua isu itu tidak dipolitikkan oleh kerajaan negeri dan Menteri Besar Johor.

“Semoga saranan ini diterima dengan terbuka, profesional dan matang. Ia adalah isu penting yang melibatkan kepentingan rakyat Johor secara langsung,” katanya.