JOHOR BAHRU - Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) berharap Bajet Johor 2019 yang bakal dibentang 29 November ini, tidak akan mengetepikan peranan generasi muda terutamanya belia berpersatuan di negeri ini.

Presidennya, Md Salleheen Mohamad berkata, pihaknya mencadangkan agar satu amaun lebih munasabah dipertimbangkan dalam Bajet 2019 untuk pengurusan dan pelaksanaan program berimpak tinggi bagi generasi muda.

"Jika diimbas kembali kepada Bajet Johor 2018, kerajaan terdahulu banyak memberi peluang dan ruang serta meletakkan asas yang kukuh kepada generasi muda untuk bersama memacu pembangunan negeri ini.

"MBNJ ingin mencadangkan perkara paling pokok perlu diberikan perhatian ialah portfolio belia itu sendiri mesti diletakkan di bawah pengurusan Menteri Besar kerana fungsi belia selain sukan dan kebudayaan, ia juga merentasi sempadan kesihatan, alam sekitar, pendidikan, kebajikan dan pelancongan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Md Salleheen berkata, kegagalan kerajaan negeri mengadakan Hari Belia Negara peringkat Johor tahun ini perlu diinsafi semua pihak selain tidak ada sebarang alasan untuk menidakkan aspirasi generasi muda di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjunjung titah dan berpegang teguh prinsip penaung MBNJ Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar memastikan kedaulatan negeri dan kesejahteraan rakyat diutamakan.

Katanya peranan generasi muda tidak lagi hanya sebagai peserta atau meramaikan khalayak sebaliknya berperanan lebih besar terutamanya di daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Oleh itu, MBNJ mencadangkan agar Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) dilantik sebagai ahli dalam Mesyuarat Tindakan Daerah dan sebagai ex-officio dalam Mesyuarat Penuh PBT agar suara generasi muda akan didengar dan memberi peluang kerajaan mendekati golongan itu lebih mudah dan mesra," katanya.

Menurut Md Salleheen, nilai kepercayaan kerajaan negeri kepada generasi muda terutamanya belia berpersatuan perlu ditingkatkan dengan kadar segera supaya manfaat diperoleh semua pihak.

Pada masa hadapan, jabatan dan agensi diharapkan agar dapat menjadi fasilitator yang lebih berkesan untuk membuat pemantauan dan membiarkan belia merencana, merancang dan melaksanakan aktiviti mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan, katanya.

"Bagi membolehkan suara generasi muda lebih berdaya saing dan berkesan, kerajaan negeri mesti mewujudkan semula Majlis Perundingan Belia Negeri dan bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun.

“Dengan cara ini, hubungan yang lebih inklusif dapat dibentuk, dan membina Johor yang lebih maju dan membangun daripada segenap aspek," katanya. - Bernama