JOHOR BAHRU - Pengerusi BN Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mahu semua jenteranya belajar untuk menjadi pembangkang yang kuat selepas PRU14.

Menurutnya, landskap politik negara telah berubah menjadi sistem dua parti di mana ia bukan perkara yang luar biasa bagi kebanyakan negara lain.

“Kita kena belajar kerana BN tak habis, BN tak mati. Sebabnya Malaysia sudah masuk ke politik kerajaan dua parti.

“Perkara ini bukan luar biasa di negara lain, jadi kita akan melaluinya. Saya mahu pimpin untuk melalui sistem dua parti,” katanya pada Majlis Terima Kasih Bagi Menghargai Jentera PRU dan Berbuka Puasa BN Pulai 2018 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.

Bercakap mengenai keputusan PRU14, Nur Jazlan akui BN Pulai sendiri tidak mengetahui di mana silap di pihak mereka sehingga tewas kerusi Parlimen Pulai serta Dun Perling dan Kempas.

“Kalau kita saja kalah, orang lain menang, kita boleh salahkan diri sendiri. Kalau satu negara kalah, itu bukan salah kita, itu tanda orang tak nak terima. Kita terima keputusan rakyat.

“Kita sudah bersedia, kita sudah bekerja daripada awal. Kita anggap ini satu keputusan oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata, jentera BN Pulai perlu meneruskan perjuangan untuk kembali semula menjadi kerajaan pada masa akan datang.