MERSING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Mersing menegaskan bekalan ayam di daerah ini mencukupi bagi menampung permintaan pada musim perayaan kali ini.

Ketua Cawangannya, Abd Aziz Siamin berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan pembekal berhubung perkara itu.

“Pengguna dinasihatkan tidak panik kerana bekalan cukup termasuk peringkat pemborong dan peruncit.

“Tahun ini kita ada pembekal baru di Endau. Insya-ALLAH masalah tahun lepas di mana bekalan ayam tidak mencukupi tidak akan berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas perasmian pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Hari Raya Puasa 2017 di Mersing, kelmarin.

Mengulas program tersebut, Abd Aziz memberitahu, kementerian menyenaraikan 19 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Hari Raya Puasa 2017 berkuat kuasa Sabtu lalu.

“Skim ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang berkuat kuasa selama 14 hari iaitu lapan hari sebelum perayaan, pada hari raya dan lima hari selepas perayaan.

“Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan. Mereka juga perlu meletakkan tanda harga khas warna merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain,” katanya.

Ujarnya, ia termasuklah bagi ayam, daging lembu, daging kerbau import (India), telur, cili merah, tomato, kubis, kelapa, bawang merah, bawang besar, bawang putih, ibu kentang, ikan kembung dan mabung serta ikan selayang.

Katanya, penentuan harga maksimum itu telah dibuat di peringkat pengeluaran, borong dan runcit dalam rantaian pengedaran mengikut kewajaran serta kesesuaian.

"Pegawai pemantau harga bakal memantau penguatkuasaan skim kawalan tersebut setiap hari bermula tarikh penguatkuasaan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 boleh dikenakan penalti. Pengguna boleh salurkan aduan terus kepada kementerian jika ada peniaga tidak patuhi undang-undang skim ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Selepas sesetengah peniaga di negeri ini sesuka hati menaikkan harga seekor ayam sehingga mencecah RM30 seekor pada perayaan Aidilfitri lalu demi untuk meraih keuntungan lebih, enam pemborong ayam di negeri ini pula telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.