BATU PAHAT - Beberapa laluan utama di sekitar bandar ini akan ditutup sempena perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah, Selasa ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Razali Mohd Tahir berkata, penutupan jalan membabitkan laluan utama perarakan itu akan ditutup bermula esok seawal jam 6.45 pagi bagi memberi laluan kepada acara raptai.

“Perarakan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer bermula di hadapan Hotel Katerina dengan melalui Jalan Zabedah, Bakau Condong dan Jalan Perak di hadapan Masjid Sultan Ismail, di sini.

“Simpang jalan yang terlibat dengan laluan utama perarakan ini akan ditutup sepenuhnya kepada semua lalu lintas mulai jam 6.45 pagi pada esok dan Selasa,” katanya.

Razali berkata, bagi semua jalan lain yang berkaitan dengan laluan utama perarakan turut dibuat lencongan agar kenderaan tidak memasuki laluan tersebut.

“Sehubungan itu, semua jalan lain yang berkaitan dengan laluan utama perarakan akan dibuat lencongan seperti pengguna dari Jalan Sultanah tidak dibenarkan membelok ke kiri untuk ke Jalan Zabedah.

“Penutupan persimpangan lain yang berkaitan dengan laluan utama turut melibatkan Jalan Pegawai; Jalan Omar; Jalan Penghulu Majid; Jalan Punai Siam; Jalan Lorong Lima; Jalan Lorong Tiga; Jalan Ungku Ahmad dan Jalan Halia,” katanya.

Razali berkata, sepanjang Jalan Bakau Condong yang bermula dari simpang Jalan Kluang ke Jalan Bukit Pasir akan ditutup sepenuhnya ketika perarakan, selain Jalan Perak dan Jalan Suasa yang merupakan lokasi peserta berkumpul setelah selesai perarakan.

Katanya, bagi memudahkan orang ramai dan peserta perarakan meletak kenderaan, beberapa lokasi ditetapkan iaitu kawasan Pejabat Daerah Batu Pahat; kawasan Tapak Pesta; Summit Parade; The Store dan Wisma Sin Long.

“Orang ramai juga boleh melihat Facebook Polis Daerah Batu Pahat untuk melihat lencongan-lencongan yang ditetapkan," katanya.