PASIR GUDANG - Saguhati bernilai RM2,000 yang diserahkan kepada sebahagian besar nelayan di kawasan Johor Selatan, negeri ini begitu dihargai selain dianggap inisiatif paling bernilai untuk komuniti berkenaan.

Nelayan Tanjung Langsat, Abdul Rahman Tan Abdullah, 63, berkata, dirinya menggunakan peruntukan itu untuk membeli kelengkapan nelayan dan menangkap ikan yang semakin meningkat harganya.

"Saya gembira sangat dengan keprihatinan kerajaan ini, mereka masih memikirkan kebajikan golongan nelayan seperti kami. Ia satu pemberian yang bermakna untuk kami semua.

"Duit RM2,000 ini saya nak guna beli jaring baru, dah tempah dua dengan harga RM1,800 baru-baru ini. Nasib ada peruntukan ini kalau nak harap pendapatan nelayan tidak seberapa sangat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Penyerahan Saguhati Nelayan Parlimen Tebrau, di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Tiram, Datuk Maulizan Bujang.

Bagi nelayan di Pasir Gudang pula, Ahmad Dali Mohd Sah, 39, berkata, dirinya pula akan menggunakan wang saguhati tersebut untuk membeli barangan keperluan harian sebagai bekalan sepanjang beberapa bulan ini.

"Kami nelayan di kawasan berhampiran bandar ini memang sedikit terasa sedikit tempias pembangunan itu, jadi pendapatan kami memang tidak menentu.

"Jadi bila dapat peruntukan seperti ini, kita beli benda penting dulu, makanan atau sebagainya, boleh simpan lama sikit dan tambah-tambah bila susah nanti," katanya.

Sementara itu, Maulizan berkata, seramai 326 nelayan berdaftar dari kawasan Parlimen Tebrau telah terlibat dalam sesi penerimaan bayaran inisiatif saguhati nelayan untuk tahun ini.

Katanya, sejak empat tahun lalu, bayaran saguhati yang diberikan kerajaan negeri itu telah banyak memudahkan kelangsungan hidup para nelayan yang dihimpit pelbagai cabaran terutama faktor tambakan laut dan industri setempat.