KOTA TINGGI - Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Kota Tinggi mengagihkan 100kg beras kepada setiap wakil madrasah tahfiz dalam daerah ini bagi ‘melangsaikan’ nazarnya pada PRU14 lalu.

Baser Senin yang juga Pengerusi Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, sebanyak enam madrasah tahfiz menerima beras tersebut yang merupakan hasil sumbangan peribadinya sendiri.

Menurutnya, program dianjurkan merupakan satu program bagi menyempurnakan niat beliau sekiranya Harapan berjaya mencapai kemenangan di negeri Johor.

“Sekiranya diizinkan Insya-ALLAH banyak lagi bantuan akan disalurkan ke pada mana-mana tahfiz yang memerlukan bagi meringankan bebanan mereka.

“Di samping itu bantuan lain akan fokus kepada golongan asnaf semakin ramai terutama di kawasan Kota Tinggi.

“Harapan sudah menang di Johor, jadi saya perlu tunaikan nazar saya. Saya juga menaruh kepercayaan dan harapan satu perubahan besar akan dilakukan oleh kepimpinan negeri yang kini dikuasai Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan program Meraikan Jemaah Haji di Surau Umar Al-Khatab Bandar Kota Tinggi, malam kelmarin.

Antara tahfiz yang menerima sumbangan 100kg beras itu, Madrasah Tahfiz Hasaniah Islamiah, Pondok Albushro, MadrasahTahfiz Al-Akhbar, Madrasah Tahfiz perempuan Al-Naurah, Madrasah Tahfiz Riyaadul Muhsineen (Tahreen) dan Madrasah Tahfiz Hajah Halimah.  

Pajlis majlis sama, Baser turut menyerahkan sumbangan kepada beberapa bakal jemaah haji dari kawasan berdekatan dan turut mendoakan agar peserta akan mendapat haji mabrur.