BATU PAHAT – Kerajaan Johor merancang membuka sebuah lagi muzium di daerah ini setelah wujudnya Galeri Dato’ Onn yang terletak di Jalan Datuk Mohd Shah, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata sudah sampai masanya kini daerah Batu Pahat yang mempunyai banyak peninggalan sejarah memiliki muziumnya sendiri.

Katanya, disebabkan tidak ada premis yang berfungsi sebagai lokasi rujukan kepada pengunjung ke daerah ini, ramai yang ‘terlepas’ untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan daerah ini, yang merupakan antara daerah terawal dibuka di negeri Johor.

“Ramai yang mengetahui daerah ini terkenal dengan makanannya yang enak-enak sahaja…tetapi tidak mengetahui sejarahnya, seperti bagaimana ianya dibuka, tokoh yang berkaitan serta sebagainya.

“Oleh yang demikian, kita merancang dalam masa dua tahun ini, sebuah muzium akan dibuka di sini (Batu Pahat) dan lokasinya terletak di Jalan Pejabat, yang kini merupakan pejabat Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP),” katanya kepada pemberita di majlis perasmian program Jom ke Dapur@Galeri Dato’ Onn yang turut dihadiri Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ) Mohd Shahrin Datuk Rahmat.

Menurut Mohd Khuzzan, ketika ini pihak YWJ sedang membuat permohonan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menggunakan bangunan MPBP itu sebagai muzium baharu.

Katanya, dalam masa sama, pihaknya juga sedang dalam proses mengira kos naik taraf bangunan tersebut daripada reka bentuk pejabat kepada reka bentuk sebuah muzium.

"Kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya Persatuan Sejarah Batu Pahat berkaitan dengan pembukaan muzium ini termasuk dengan barangan bersejarah yang bakal diletakkan di muzium berkenaan.

"Kita berharap permohonan menggunakan bangunan terbabit akan mendapat kelulusan setelah pihak MPBP berpindah ke lokasi baharu (Menara MPBP)," katanya.

Mengenai program pameran Jom ke Dapur@Galeri Dato’ Onn itu, beliau berkata ia dibuka kepada umum selama enam bulan bermula semalam (Ahad).

Program tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada orang ramai berkaitan dengan masakan tradisional masyarakat Johor serta jenis-jenis dapur yang digunakan daripada zaman nenek moyang kita dahulu, katanya.- Bernama