KOTA TINGGI - [DIKEMASKINI] Op Redback yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) berjaya mengurangkan kegiatan migran sehingga ke tahap sifar kes pada tahun ini.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Muda Maritim Datuk Abu Bakar Idris berkata, operasi sebanyak 11 kali sejak tahun 2011 itu dapat mengurangkan kegiatan migran dari Asia Barat yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum ke Australia.

"Mengikut statistik, kita dapati migran dari negara seperti Iran, Pakistan, Afghanistan adalah sifar.

"Sebelum ini kita ada dengar migran dari negara tersebut tetapi sejak beberapa tahun ini golongan tersebut tidak dapat dikesan.

"Apa boleh kita katakan operasi dilaksanakan dengan kerjasama ABF ini mendatangkan hasil. Di samping ada undang-undang dan peraturan ketat dilaksanakan Australia juga sedikit sebanyak telah membantu mengurangkan pergerakan migran ini ke negara ke tiga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Redback Siri 11/2018 di Pejabat Zon Maritim Malaysia Tanjung Sedili, semalam.

Jelasnya, keberkesanan operasi itu juga dapat dilihat melalui statistik migran yang turun secara drastik.

Katanya, penurunan itu dapat dipastikan melalui maklumat pendaratan migran diterima Australia di mana jumlahnya amat kecil pada masa sekarang.

"Saya percaya begitu juga di pihak Kerajaan Australia percaya, kita dapat bendung aktiviti migran melalui operasi ini," katanya yang turut memaklumkan seramai 130 anggota terlibat dalam Op Redback Siri ke-11 bermula 24 hingga 28 September ini.

Dalam pada itu, Komander ABF, Chris Waters berkata, operasi dilancarkan itu merupakan kesinambungan operasi terdahulu.

Katanya, ia merupakan perkongsian strategik yang seterusnya ditunjukkan dalam kerjasama erat yang wujud di antara Maritim Malaysia dan ABF.

"Pihak Australia komited untuk bekerjasama dengan Malaysia serta rakan antarabangsa yang lain dalam usaha berdepan cabaran serta memperkukuh lagi keselamatan maritim antara negara," katanya.

Sehingga hari ini, hasil operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Maritim Malaysia telah merekodkan 280,792 jumlah penggeledahan dan 10,477 tangkapan.

Dari jumlah itu, bermula Januari 2006 hingga kini,  sebanyak 1,079 kes tahanan pendatang tanpa izin (Pati) yang meliputi seramai 7,030 Pato telah ditahan, yang melibat beberapa buah negara jiran.

Dari penguatkuasaan yang dijalankan Maritim Malaysia bagi tahun ini sahaja telah berjaya mengutip hasil berjumlah RM307 juta yang melibatkan lelongan ikan, kompaun, pelupusan serta denda nelayan asing.