JOHOR BAHRU - Banjir kilat dan air pasang besar di Kampung Sungai Suloh dan Sungai Ayam dekat Batu Pahat menyebabkan 104 penduduk daripada 41 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir sementara, sejak malam tadi.

Kesemua penduduk terjejas ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh.

Mangsa banjir ketika ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara.

Menurut maklumat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, sehingga jam 6 pagi tadi keadaan banjir masih belum surut disebabkan cuaca mendung dan hujan.

Katanya, antara agensi terlibat memindahkan penduduk-penduduk terjajas ialah pejabat daerah, Angkatan Pertahanan Awam, polis, bomba dan penyelamat serta Rela.

“Pemantauan berterusan akan dijalankan sebelum penduduk-penduduk terjejas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.