TANGKAK - “Alhamdulillah, tahun ini saya sekali lagi diberi peluang untuk menghidangkan juadah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017," demikian kata pengusaha Am Katering, Amran Mohamad.

Menurut Amran, dia sudah empat kali diberi kepercayaan untuk menyajikan pelbagai juadah kepada Sultan Ibrahim dan kerabat Diraja Johor bersempena KMJ.

“Saya masih ingat lagi program KMJ dua tahun lalu, saya diberi peluang menghidangkan bihun goreng, ubi ungkep dan kuih lapis kepada Tuanku. Paling mengejutkan bila Tuanku puji masakan saya pada hari itu yang disampaikan pihak pejabat daerah.

“Selama hampir 10 tahun dalam bidang katering, itulah kenangan paling manis dan bererti buat saya dan kakitangan kerana hasil masakan kami mendapat perhatian daripada Tuanku,” katanya kepada Sinar Harian.

Amran berkata, pada program KMJ kali ini, dia diberi kepercayaan menyajikan menu petang dan pihaknya menggunakan kesempatan itu untuk menghidangkan kopi hailam.

Katanya, dia belajar sendiri bagaimana menghasilkan kopi tradisional itu yang mana ia adalah minuman turun temurun masyarakat Cina.

“Selain itu, saya juga hidangkan pisang goreng dan kuih pau dalam majlis minum petang ini.

“Sebelum ini, saya pernah diminta menyajikan juadah kepada keluarga Diraja dalam beberapa majlis. Alhamdulillah, sepanjang beberapa kali pengalaman memasak untuk Tuanku dan kerabat, baginda tidak pernah mengkritik atau menegur hasil masakan saya.

“Sebab itu apabila mendapat pujian, saya sangat gembira dan bersyukur dengan kepercayaan yang diberi,” katanya yang mengakui menerapkan sifat ikhlas dan kasih sayang dalam setiap masakannya.

Terdahulu, rombongan KMJ singgah di Medan Selera Taman Serom Utama, di sini, untuk menikmati minum petang.

Rombongan meluangkan masa kira-kira 30 minit dan sempat beramah mesra bersama rakyat jelata sebelum meneruskan jelajah ke Dataran SRCC, Sungai Abong, Muar.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MUAR - “Inilah kenderaan paling berharga dalam hidup saya. Memang terharu apabila sekali lagi dipilih untuk dapat motosikal khas kurniaan Tuanku,” luah warga emas, Ibrahim Ali, 70.
  • KULAI - Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 melabuhkan tirainya selepas empat hari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mendampingi rakyat dengan menempuh perjalanan sejauh 808 kilometer di seluruh negeri ini.
  • SEGAMAT - Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 2,000 penduduk daerah ini untuk menantikan ketibaan konvoi Kembara Mahkota Johor di Dataran, Segamat, di sini, semalam.
  • JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat merasmikan gimik majlis pelepasan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, pagi semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.