MUAR - Seorang bakal pengantin dari Parit Zin, Air Hitam, di sini, sedang mencari bapa kandungnya yang gagal dikesan sejak berpisah dengan ibunya kira-kira 23 tahun lalu untuk menjadi wali  pernikahan.

Nurul Baizura Saimin, 23, dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Muhammad  Ashraff Nazrul, 30, dari Johor Bahru pada 16 Februari ini.

Menurutnya, bapa kandungnya, Saimin Haron, 56, yang berasal dari Pontian, tidak dapat dikesan selepas berpisah dengan ibunya, Zubaidah Yusof, 49.

“Sejak itu, tiada sebarang berita mengenainya malah kami telah berusaha mengesannya dengan bertanya saudara mara termasuk keluarga sebelah bapa di kampung asal di Pontian, namun tidak berhasil.

“Ahli keluarga di Pontian juga tidak tahu di mana bapa saya berada. Ini membuatkan kami buntu mencarinya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, segala persiapan untuk majlis perkahwinannya di kampung sudah dilakukan termasuk mengedarkan kad jemputan, tetapi urusan mencari wali masih lagi tidak berhasil.

Nurul Baizura berkata, dia ada melakukan semakan nama bapanya di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tetapi tindakan dilakukan tidak membuahkan hasil kerana bapanya masih belum menukar kad pengenalan lama kepada baru sekaligus menyukarkan usahanya.

“Saya berharap beliau akan tampil dan menjadi wali pernikahan.

“Saya juga mahu beliau ada bersama-sama meraikan hari bahagia saya bersama bakal suami.

“Mohon jasa sesiapa yang  mengenali atau  mempunyai maklumat mengenai bapanya boleh hubungi saya di talian 014-2351063,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARAN - Seorang wanita yang bakal melangsungkan perkahwinannya Julai tahun ini buntu dan sedih kerana gagal menghubungi ayah kandungnya walaupun telah diusahakan pelbagai cara sejak Mac lepas.
  • KUANTAN - Seorang pembantu kedai merayu abang kandungnya tampil ke Mahkamah Rendah Syariah Kuantan sebagai wali berikutan usahanya untuk berkahwin tidak kesampaian sehingga kini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.