• 'Baby Hatch' pertama di Johor Faizah menunjukkan ruangan ‘baby hatch’ yang disediakan Orphan Care bagi mengurangkan kes pembuangan bayi.
1 /

JOHOR BAHRU – Sebuah pusat perlindungan dengan konsep ‘baby hatch’ yang pertama di negeri ini mula dibuka Yayasan Anak Yatim Orphan Care bagi melindungi bayi tidak diingini dan mengurangkan kes pembuangan bayi.

Pengerusinya, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, pusat perlindungan yang beroperasi di Jalan Padi Mahsuri 1, Bandar Baru Uda, di sini, itu dibuka 24 jam dan penjaga boleh menghantar bayi masing-masing dengan memasukkannya ke dalam ruang perlindungan disediakan.

Menurutnya, ‘baby hatch’ yang disediakan turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan termasuk kamera litar tertutup (CCTV), alat pengesan dan penghawa dingin bagi melindungi bayi yang dimasukkan ke dalam ruang berkenaan.

“Bayi yang diletakkan ke dalam ruangan ‘baby hatch’ ini akan segera diambil oleh penjaga pusat perlindungan melalui pemantauan CCTV yang beroperasi 24 jam.

“Manakala identiti penjaga atau pihak yang menghantar bayi akan menjadi rahsia kerana tidak dapat dilihat melalui CCTV yang hanya dipasang untuk memantau bayi yang diletak ke dalam ruangan ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Faizah berkata, setakat ini, yayasan itu sudah membuka tiga pusat perlindungan dengan konsep ‘baby hatch’ termasuk di Petaling jaya, Selangor dan Kota Bharu, Kelantan malah merancang membuka sebuah pusat lagi di utara tanah air.

“Kita telah menerima 71 bayi sejak ‘baby hacth’ pertama di buka di Petaling Jaya pada tahun 2010 dan kesemua mereka diserahkan di bawah jagaan keluarga angkat masing-masing.

“Ibu atau penjaga juga boleh menghantar bayi mereka secara terus kepada penjaga pusat perlindungan.

“Dengan ini kita dapat mengenal pasti keturunan dan status warganegara bayi berkenaan bagi memudahkan kita mencari keluarga angkat yang bersesuaian untuk bayi berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, sejak yayasan berkenaan ditubuhkan pada 2008, seramai 2,500 pasangan yang tidak mempunyai anak telah membuat pendaftaran bagi mendapatkan bayi untuk dijadikan sebagai anak angkat.

“Identiti ibu atau penjaga kandung bayi akan dirahsiakan oleh kami dari pengetahuan keluarga angkat atau mana-mana pihak.

“Kita juga turut mengaturkan pertemuan di pusat perlindungan tanpa membabitkan keluarga angkat sekiranya ibu kandung berhasrat menemui anaknya,” katanya.