PONTIAN - Keadaan timbunan sampah sedalam kira-kira 9 meter yang masih mempunyai bara api menyukarkan kerja-kerja pemadaman kebakaran Pusat Pelupusan Sampah Kampung Air Putih, Pekan Nanas yang sudah berlarutan sejak 11 hari lalu.

Pegawai Bahagian Operasi dan Menyelamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Taha Husain berkata jentera penolak dan pengorek digunakan bagi menggali timbunan sampah supaya bara api dapat dipadamkan.

Katanya, bara api dibawah timbunan sampah berkenaan perlu dipadamkan dan dikawal bagi mengelak api merebak ke kawasan sekitar pusat pelupusan sampah yang berkeluasan 25 ekar itu.

"Hujan yang turun pada sebelah petang dan berlarutan sebelah malam semalam, banyak membantu operasi pemadaman pada hari ini.

"Jumlah keluasan kebakaran pada hari ini dianggarkan 3 ekar berbanding 4 ekar yang direkodkan semalam," katanya ketika ditemui di pusat kawalan bomba di tapak Pusat Pelupusan Sampah Kampung Air Putih Pekan Nanas di sini, hari ini.

Menurut Mohd Taha, bekalan air bagi operasi pemadaman diperoleh sepenuhnya daripada lori tangki air berikutan ketiadaan sumber bekalan air berdekatan pusat pelupusan sampah berkenaan.

Mohd Taha(tengah) ditemui pada sidang media di pusat kawalan bomba di tapak Pelupusan Sampah Kampung Air Putih Pekan Nanas.

"Lori tangki air menjadi pengangkutan utama sumber air dari luar dibawa ke pusat pulupusan sampah. Sebanyak 2 lori tangki air bomba dan 5 lori tangki air SWM digunakan.

"Kita jangka kebakaran dapat dipadam secepat mungkin dengan kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam dan SWM. Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi, kebakaran akan padam,"katanya.

Jelasnya, sehingga kini pihaknya tidak menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung gangguan dari sudut udara berikutan asap putih masih menyelubungi pusat pelupusan tersebut.

"Pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan asap dan punca api dapat dikawal.

Kebakaran di Pusat Pelupusan Sampah Kampung Air Putih masih belum reda.

"Usaha-usaha pemadaman kebakaran juga terus giat dijalankan 50 anggota bomba, APM dan SWM pada hari ini yang merupakan hari ke-11 kebakaran pusat pelupusan sampah di sini,"katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :