PONTIAN - Bila sebut sahaja Kampung Sungai Kuali pasti ramai yang menyangka nama tempat berkenaan berasal daripada peralatan dapur yang sering digunakan untuk memasak dan menggoreng iaitu kuali.

Tidak kurang juga yang beranggapan nama tersebut diperoleh kerana dahulunya kampung itu pernah menjadi pusat pengeluaran bijih timah sehingga terdapat banyak kuali yang digunakan untuk mendulang sumber mineral tersebut.

Walau apa juga cerita dan anggapan, Kampung Sungai Kuali ini terus dikenali dan berkembang maju terutama dalam sektor pelancongan lebih-lebih kegiatan inap desa ataupun homestay yang dijalankan penduduk kampung.

Bagi mendapatkan lebih lanjut tentang asal-usul Kampung Sungai Kuali, Sinar Harian telah bertemu dengan seorang penduduk lama di kampung itu iaitu Pitah Taha, 50.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Homestay Tanjung Piai memberitahu, Kampung Sungai Kuali mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Katanya, berdasarkan daripada cerita yang disampaikan generasi terdahulu, kuali sebenarnya merupakan perkataan yang telah disingkatkan daripada bahasa Bugis iaitu 'Sengkawali'.

Papan tanda Kampung Sungai Kuali.

“Daripada perkataan 'Sengkawali' ia telah dipendekkan menjadi 'kuali' mungkin lebih mudah sebut.

“Tetapi maksud sengkawali dalam bahasa Bugis tidak pernah berubah, ia membawa maksud keris,”katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, terdapat satu peristiwa keris kepunyaan seorang pahlawan Bugis tersusuk di dalam sungai yang kini dikenali sebagai Sungai Kuali.

“Keris itu tidak boleh dicabut dan dipercayai masih tersusuk di dalam sungai,”katanya.

Menurutnya, tidak ramai yang mengetahui kisah keris tersusuk di dalam sungai yang menjadi punca kampung ini mendapat nama.

“Biarpun tidak ramai yang mengetahui kisah asal usul nama Kampung Sungai Kuali, namun peristiwa yang berlaku itu tetap menjadi sejarah. Siapa sangka nama Kampung Sungai Kuali kini menjadi antara nama yang cukup unik terdapat di daerah ini,”katanya.

Kampung Sungai Kuali terletak di Serkat, Tanjung Piai yang terkenal dengan julukan Penghujung Benua Asia.  Majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Bugis.

Kawasan tumpuan pelancong

Suasana kampung berbeza berbanding dahulu yang menjadi lokasi kegiatan pertanian kini menjadi kawasan tumpuan pelancong.

Keunikan dan keistimewaan Tanjung Piai yang digelar sebagai Penghujung Benua Asia ini membuatkan ramai orang luar yang datang berkunjung ke daerah ini.

Hal tersebut secara tidak langsung telah menyebabkan Kampung Sungai Kuali yang terletak berdekatan Tanjung Piai turut menerima limpahan ekonomi daripada perkembangan pesat di kawasan pelancongan berkenaan.

Justeru itu, aktiviti perniagaan berkaitan pelancongan seperti inap desa, persembahan kebudayaan, makanan dan tradisi tempatan dilihat berkembang dengan begitu pesat di sini.

Pitah menunjukkan tempat keris dipercayai tertusuk ke dalam sungai.

Pitah berkata, keindahan hutan paya bakau yang terdapat di taman Negara Tanjung Piai dengan panorama laut yang menenangkan adalah antara faktor utama yang menarik orang luar datang ke mari.

“Kebanyakan pelancong tertarik untuk melihat sendiri Tanjung Piai yang digelar Penghujung Benua Asia ini.

“Rata-ratanya teruja untuk melihat sendiri keindahan alam semula jadinya yang masih belum terusik,”katanya.

Menurutnya, Tanjung Piai merupakan antara perkampungan awal di Pontian yang memiliki sijil daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada tahun 1996.

“Tidak sangka idea yang dimulakan oleh penghulu ketika itu kini menjadi sumber ekonomi penduduk.

“Lebih penting, sektor pelancongan ini melonjakkan lagi nama Tanjung Piai dan kampung-kampung tradisi di sekitarnya termasuk Kampung Sungai Kuali.

Miliki barang antik

Selain menguruskan inap desa, Pitah juga tidak terkecuali memainkan peranan memelihara dan mengekalkan barang antik serta warisan masyarakat Bugis.

Tanggungjawab itu telah dikongsi bersama isterinya, Radiah Abdullah, 45.

Katanya, beliau sanggup ke Johor Bahru, Melaka dan Perak demi mencari barang antik untuk diletakkan di rumahnya yang menjadi lokasi Homestay Tanjung Piai.

Antara barang antik yang dimiliki Pitah ialah radio, telefon, gromofon dan barang tembaga yang diwarisi daripada bapanya.

“Memandangkan rumah saya menjadi lokasi pelancong yang menyertai pakej Homestay Tanjung Piai, sudah pasti saya mahukan yang terbaik diberikan kepada mereka.

“Hiasan barang antik sememangnya menarik perhatian mereka yang rata-ratanya begitu teruja sehingga ada yang menggelar rumah saya seperti muzium,”katanya.

Katanya, beliau akan terus menjaga warisan keluarga dan budaya masyarakat Bugis agar bertahan buat selama-lamanya.