JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri tam­pil memberi pen­jelasan mengenai Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) selepas didesak oleh Pemuda Umno Johor.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah unit rumah mampu milik yang dijangka siap pada tahun ini adalah berubah-ubah berdasarkan laporan jawatankuasa khas yang diterima.

“Jumlah unit RMMJ yang dijangka siap pada 2018 adalah berubah-ubah dari 13,536 unit (perangkaan September 2017) kepada 4,600 unit (perangkaan November 2017) dan 3,696 unit (perangkaan Januari 2018).

“Bagaimanapun anggaran jumlah keseluruhan unit yang akan siap menjelang 2020 adalah hampir sama iaitu antara 60,846 ke 61,172 unit,” katanya kepada Sinar Harian.

Dzulkefly berkata, perubahan angka itu berlaku disebabkan beberapa perkara antaranya pemaju menghadapi masalah kewangan.

“Sepatutnya projek siap pada 2018 tetapi disebabkan pemaju menghadapi masalah kewangan maka projek hanya boleh disiapkan pada tahun 2019 atau 2020.

“Keadaan ini dibuktikan dengan jumlah keseluruhan yang dijangka siap pada tahun 2020 adalah hampir sama iaitu 60,846 ke 61,172 unit,” katanya.

Selain itu, katanya, sebab lain adalah perubahan kepada Kebenaran Merancang (KM) di mana jumlah komponen jenis rumah mampu milik akan berubah atau tidak dapat dibina mengikut jumlah yang sepatutnya.

“Mengikut Dasar Perumahan Rakyat Johor (DPRJ) setiap rumah mampu milik yang tidak dibina, pihak pemaju akan dikenakan denda sebanyak RM40,000 seunit,” katanya.

Beliau berkata, daripada penerangan tersebut, tidak timbul isu ke mana hilangnya 9,818 unit rumah mampu milik seperti yang didakwa oleh Ketua Pemuda Umno Johor.

“Jumlah tersebut tetap ada tetapi disebabkan perkara berkenaan, jumlah unit tidak termasuk dalam unit yang akan siap pada 2018, sebaliknya termasuk dalam unit-unit yang akan siap dalam 2019-2020.

“Diharap penjelasan di atas dapat memberikan pencerahan terhadap isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Johor,” katanya.

Terdahulu, Pemuda Umno Johor mendesak kerajaan negeri menyatakan angka sebenar pembinaan baharu unit rumah mampu milik yang diluluskan kerajaan negeri baharu bermula Jun lalu.